Arkib: Malam Penghargaan Rasulullah s.a.w


“Tidak kami utuskan engkau, (wahai Nabi Muhammad s.a.w) melainkan untuk rahmat serata alam”
(al-Anbiya', 21:107)

Sambutan Maulidur Rasul 1431H yang lepas mencatatkan detik bersejarah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak. Julung-julung kali mengadakan program seperti ini di tempat terbuka seperti Waterfront, ABIM Sarawak komited mengorak langkah dalam dakwahnya. Malam Penghargaan Rasulullah sallahu alaihi wasallam (s.a.w) diadakan oleh Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) cawangan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Penerangan dan RTM, Liga India Muslim dan ABIM Sarawak.

Malam Penghargaan Rasulullah s.a.w merupakan manifestasi melafazkan rasa kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui persembahan yang diadakan. Persembahan berzanji, nasyid, deklamasi sajak, nyanyian akustik, tayangan multimendia dan mauled telah dipertontonkan kepada lebih kurang 500 hadirin yang mengunjungi acara tersebut, termasuk pelancong asing.

Atas: Persembahan berzanji daripada Surau Kampung Semariang

Atas & Bawah: Persembahan mantap daripada adik-adik comel Taski ABIM Sarawak

Atas: Deklmasi sajak “Sudah Lama Aku Menanggung Rindu” daripada sdr. Muhammad Afif Iskandar

Atas: Persembahan nyanyian akustik daripada kumpulan Adan
Atas: Acara kemuncak Malam Penghargaan Rasulullah s.a.w, iaitu persembahan Maulid Daibai’ dan qosidah terpilih daripada kumpulan qosidah PERKEPIS.

Semoga Malam Penghargaan Rasulullah s.a.w menjadi titk lonjakan untuk kita lebih mengenali Nabi Muhammad s.a.w, seorang insan hebat yang diutuskan Allah. Dialah guru kita yang mengajar kepada-Nya, pemimpin kita, yang menyayangi kita, teramat kasih kepada umatnya, dan bimbang akan keadaan generasi setelahnya. Dialah yang memimpin umatnya untuk memasuki syurga. Tidak ada orang yang memasuki syurga, melainkan Nabi Muhammad s.a.w memasukinya. Tidak akan sempurna iman kita jika kita tidak mencintai Baginda s.a.w melebih daripada diri kita sendiri.

Marilah kita membanyakkan selawat atas Baginda s.a.w. Syeikh Syed Muhammad ibn Alawi al-Maliki (w. 2004), seorang ulama besar Mekah pernah mengingatkan bahawa, seafdal-afdal amalan pada zaman ini adalah selawat. Kerana kita telah terlalu jauh daripada Baginda s.a.w. Semoga dengan keberkatan selawat kita gembira menyambut hari kelahiran Baginda, menjadikan kita bertambah cinta, bertambah cinta, bertambah cinta kepadanya. Mencintai Rasulullah, maka secara langsung akan mencintai Allah!

Akhir kata, daripada hadith Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, bahawa selawat seseorang diketahui oleh baginda sallallahu alaihi wasallam... dan Allah akan membalas selawatnya sebanyak sepuluh selawat daripada-Nya. Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan Abu al-Syeikh ibnu Hibban dengan lafaznya:

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda:

"Sesungguhnya Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung mempunyai malaikat yang diberikan kepadanya pendengaran sekalian makhluk. Maka dia berdiri di kuburku apabila aku telah wafat.

Tiada seorang pun berselawat kepadaku melainkan malaikat itu berkata, 'Wahai Muhammad! Fulan ibn Fulan telah berselawat kepadamu.'

Lalu Baginda sallallahu alaihi wasallam bersabda: 'Maka Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Agung akan berselawat atas lelaki tersebut bagi setiap satu selawatnya dengan selawat (daripada Allah).'"

Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam kitab al-Kabir.


Allahumma solli 'ala Muhammad!



Menegak Kebenaran dan Keadilan
TAG