Bersama Delegasi ABIM Selangor
Posted by
Azrul bin Jaini
3:01 PTG
Syukur, dengan izin Allah, ABIM Sarawak telah dipertemukan dengan delegasi ABIM Selangor pada 14 Mei 2010 yang lepas, di Pusat Latihan Sarawak (PLS) JAKIM Telaga Air. Diketuai oleh Setiausaha Negeri Sdr. Khairudin bin Abas, delegasi tersebut merupakan peserta kepada program dakwah bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di bumi Sarawak.
Delegasi telah disambut oleh dengan mesra oleh Yang Di-Pertua ABIM Sarawak, Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan. Kehangatan ukhuwah begitu terasa dengan perkongsian pengalaman di lapangan masing-masing. Kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan tentang strategi dan pelaksanaan dakwah walaupun agak berbeza dari segi suasana politik, sosio-budaya dan pendidikan. Interaksi tersebut tidak lain tidak bukan akan meyemarakkan semangat untuk mengekal dan memacu momentum dakwah di tempat masing-masing. Matlamatnya adalah satu, iaitu menyampaikan dakwah membawa manusia ke jalan menuju redha Allah.
Semoga pertautan ukhuwah (persaudaraan) ini berkekalan dan diteruskan sehingga bila-bila. ABIM Sarawak mengucapkan terima kasih sekalung budi buat delegasi ABIM Selangor atas kehadiran mereka untuk sudi bertandang di bumi Kenyalang semata-mata meluangkan masa, tenaga dan wang ringgit untuk melihat, memahami dan sekaligus membantu menyampaikan agama Allah di sini. Hanya daripada Allah kita datang dan kembali.
"Dan Dia yang menyatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Jika kamu belanjakan semua yang di atas bumi ini, nescaya tidak dapat kamu menyatukan hati mereka. Tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sesusngguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
(Surah al-Anfaal, 8:62)
Wassalam
Menegak Keadilan dan Kebenaran
Tiada ulasan
Catat Ulasan