“Tidak kami utuskan engkau (wahai Muhammad s.a.w) melainkan sebagai penyebar rahmat ke serata alam.” (Surah al-Anbiya’, 21: 107)
Syukur tidak terhingga kepada Allah, kerana telah mengizinkan rombongan Berambeh Muhibbah ABIM Daerah daripada 8 sehingga 11 Jun 2010. Rombongan Berambeh membawa semangat dakwah mengeratkan siratulrahim kekeluargaan antara ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri dan Daerah Sarawak. Destinasi Berambeh adalah Sarikei, Meradong (Bintangor), Bintulu dan Miri. Seramai lima ahli ABIM telah menyertai rombongan ini dan selamat sampai pada malam 11 Jun 2010 (Jumaat). Melalui program Berambeh ini, moga tautan hati berkekalan. Ahli keluarga ABIM Daerah dan rombongan berkongsi rasa, pengalaman dan strategi menghadapi cabaran dalam dakwah. Semoga perjalanan tersebut telah diberkahi dan menyambungkan mata rantai dakwah ke serata Bumi Kenyalang, amiin.
Sarikei: 8 Jun 2010, Selasa (Hari Pertama)
Hari pertama membawa rombongan Berambeh ke destinasi: Sarikei. Yang Di-Pertua ABIM Sarawak, Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan telah dijemput oleh jawatankuasa Masjid Muttaqin, Sarikei untuk menyampaikan tazkirah. Beliau telah menyampaikan tazkirah Maghrib-Isyak.
Rombongan Berambeh telah tiba di bangunan Taski ABIM Sarikei seputar jam 8.30 malam, disambut dengan mesra oleh ABIM Daerah. Meskipun selama ini berjauhan, namun tautan persaudaraan dan ikatan dalam lapangan dakwah yang disemai tetap bersemi. Usrah telah dijalankan dengan suasana yang cukup harmoni dalam pertemuan tersebut. Rasa ini ingin bersama lama, namun atas kekangan waktu, ahli rombongan harus bersedia untuk perjalanan yang jauh ke destinasi Berambeh seterusnya.
Usrah bersama ABIM Sarikei
Meradong: 9 Jun 2010, Rabu (Hari Kedua)
Perjalanan tetap diteruskan. Destinasi pada hari tersebut adalah ABIM Meradong (Bintangor). Hajat hati ingin bersua dengan sahabat ABIM Meradong. Namun apakan daya, Tuhan menentukan segalanya, rombongan Berambeh tidak dapat menghubungi dan berjumpa dengan sahabat-sahabat.
Rombongan tiba di Taski ABIM Meradong dan singgah sebentar, sebelum berangkat ke Bintulu. Dengan hati yang berat, rombongan Berambeh meneruskan perjalanan. Semoga Allah memberi ruang dan peluang untuk bersua kembali pada masa-masa akan datang.
Bintulu: 9 Jun 2010, Rabu (Hari Ketiga)
Rombongan selamat tiba di Bintulu pada jam 3.00 petang. Rombongan telah disambut oleh ahli ABIM sdr. Rahmat, juga mantan Yang Di-Pertua Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS).
Dalam rangka Berambeh di Bintulu, rombongan Berambeh telah dibawa ke satu pusat pendidikan di Bintulu, juga dikenali sebagai Madrasah Ustaz Ali Fatullah. Syukur kepada Allah, rombongan telah dipertemukan dengan beliau. Seorang yang cekal tetapi sering merendah diri, beliau mencetus inspirasi rombongan yang terdiri daripada anak-anak muda. Tidak terbayang bagaimanakah bangunan madrasah yang tersergam indah adalah hasil perjuangan beliau selama bertahun-tahun.
Bahagian hadapan kompleks madrasah, menempatkan tapak-tapak sewa perniagaan.
Bahagian dalaman kompleks madrasah
Pertemuan rombongan dengan Ustaz Ali
Satu ungkapan keramat beliau, “Kerja dakwah, jangan risau. Mula dengan bismillah, kemudian JALAN!”
Salah satu daripada kelas model awal madrasah. Rupa dalaman seperti kemudahan kuliah universiti. Kemas dan berhawa dingin.
Sesungguhnya Ustaz Ali merupakan seorang figur ulung yang harus dijadikan contoh dalam semangat berdakwah. Usaha bertahun-tahun tanpa kenal jemu diriingi dengan usaha bersungguh-sungguh telah membuahkan hasil yang dibanggakan. Beliau menjadi inspirasi yang berharga buat kami orang muda. Semoga Allah merahmati beliau!
Pada sebelah malam pula, Yang Di-Pertua ABIM, Ustaz Hasfa telah dijemput untuk menyampaikan tazkirah Maghrib-Isyak, sebagai sumbangan kepada masyarakat setempat.
Usrah telah diadakan di kediaman sdr. Awang Shamsul di Kidurong. Terasa kehangatan persaudaraan lama dalam arena dakwah yang telah tertaut sejak zaman Akademi Bestari Muda (ABM) dan PERKEPIS. Kedua-dua badan merupakan badan kader kepada ABIM dalam alam pelajar dan kemahasiswaan. Sahabat-sahabat handai yang telah berkenalan dipertemu semula setelah sekian lama tidak bersua. Semarak semangat dakwah diteruskan dengan mengikuti perkembangan ABIM Negeri dikongsikan bersama sahabat-sahabat. Mudah-mudahan pertemuan diberkahi Allah.
Miri: 10 Jun 2010, Khamis (Hari Keempat)
Kini rombongan tiba di destinasi terakhir. Rombongan Berambeh telah tiba di Miri pada 3.00 petang.
Pertemuan usrah bersama ABIM Miri telah diadakan di kompleks Yayasan al-Hidayah, Taski ABIM. Kompleks tersebut terletak di Piasau, berhampiran dengan SMK Dato Permaisuri. Rombongan telah disambut mesra oleh pimpinan ABIM Miri.
Meskipun jarak umur generasi yang jauh, umpama anak dan ayah tidak menghalang usrah dijalankan dengan lancar. Semangat dakwah yang masih terang menyinar di wajah-wajah sahabat ABIM Miri yang istiqamah dalam agenda dakwah selama lebih 30 tahun mengagumkan ahli rombongan. Antara kejayaan ABIM Miri ialah berjuang mendirikan kompleks Taski ABIM yang tersergam, semangat mereka berpadu umpama semangat Ustaz Wan Ali yang mendirikan madrasah beliau. Ingin dilanjutkan juga usrah pada malam tersebut, namun apakan daya, masa tidak mengizinkan. Semoga pertemuan tersebut menghasilkan persefahaman yang lebih erat dalam memacu gerakan dakwah di Bumi Kenyalang ini, insya-Allah.
Semoga perjalanan Berambeh Muhibbah ABIM Daerah memperkasa persaudaraan dalam dakwah. Sinergi, ataupun paduan yang ampuh antara generasi diperkemas dalam membentuk gerakan yang lebih bertenaga. Daya kudrat muda yang dipimpin oleh kebijaksanaan ‘orang-orang lama’ menghasilkan satu gabungan yang mantap. Oleh yang demikian, mata rantai dakwah disambung-sambung sehinggalah ke generasi ke generasi seterusnya.
“Dam hendaklah antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
(ali-Imran, 3:104)
Menegak Kebenaran dan Keadilan
Tiada ulasan
Catat Ulasan