Satu taklimat Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersama agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pengislaman telah diadakan pada 21 Mei 2010 yang lepas di Dewan Syarahan YADIM. Taklimat telah dipimpin oleh Ketua Eksekutif YADIM Pusat, Dr. Ahmad Fadzli Tajudin.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak merupakan antara badan yang terlibat dalam perbincangan ini. Antara agensi dan NGO yang turut sama ialah JAKIM Sarawak, Pusat Latihan Sarawak JAKIM, Urusetia Saudara Kita (USK) Pusat Penerangan Islam (IIC), Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH), Jemaah Islah Malaysia (JIM) Sarawak, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Persatuan Bekas Polis.
Pertemuan dua jam telah menyediakan ruang berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai dakwah pengislaman di Bumi Kenyalang. Perkara ini penting, bagi memberikan gambaran yang jelas mengenai cabaran dan usaha pengislaman selama ini. Tambahan pula, pertemuan ini dirangka bagi memohon peruntukan dan menyusun gerak kerja dakwah bagi mengelakkan pertindihan tugas antara agensi dan NGO.
Sesungguhnya pertemuan bukan sahaja tempat untuk membincangkan agenda besar dakwah, tetapi juga menjadi peluang untuk bersua muka bersama sahabat-sahabat di lapangan dakwah. Diharapkan dengan semangat dakwah yang jitu membawa syiar agama Allah ini tetap istiqamah berkekalan sehingga bila-bila. Semoga juga persaudaraan yang tertaut memberi kekuatan menggembleng tenaga dalam rangka menyebarkan sinar Islam ke serata bumi bertuah, Bumi Kenyalang.
“Dan tidak kami utuskan engkau (Wahai Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam) melainkan sebagai rahmat ke serata alam.” (Surah al-Anbiya’, 21:107)
Menegak Keadilan dan Kebenaran
Tiada ulasan
Catat Ulasan