Sambutan Hari Guru Taski ABIM Negeri Sarawak telah diadakan pada 2 Jun 2010 yang lepas di restoran Grand Malay, Kuching. Pada malam tersebut, lebih 100 warga keluarga besar ABIM-Taski ABIM Kuching Samarahan telah berkumpul sebagai tanda penghargaan jasa terlibat dalam pendidikan pra-sekolah ABIM.
Majlis telah diserikan lagi dengan mantan-mantan pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak. Antaranya ialah Pengerusi Syura Tn. Hj Rasli, mantan Yang Di-Pertua ABIM Ustaz Zamri, mantan Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Ustaz Khalidi (Ketua Pengurus Dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak JAIS). Pendidik-pendidik Taski ABIM bersama-sama ahli keluarga telah bersama-sama memeriahkan suasana. Barisan exco ABIM turut hadir dalam majlis tersebut.
Ketua Biro Pendidikan ABIM, merangkap Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak, Sdr. Wan Azizan telah menyampaikan ucapan alu-aluan beliau sebagai penganjur mengalu-alukan kehadiran angkatan pendidik-pendidik Taski. Beliau amat berterima kasih kerana mereka merupakan tunjang utama sebagai pendidik Taski ABIM selama ini.
Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak, Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan telah menyampaikan ucapan beliau. Beliau berharap agar para pendidik terus istiqamah dalam menjadikan karier pendidik sebagai pilihan utama sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Allah. Beliau juga berpesan bahawa pendidikan Taski ABIM juga adalah salah satu sarana sumbangan dakwah mereka kepada masyrakat.
Beliau mengucapkan tahniah kepada barisan pendidik atas usaha yang sungguh-sungguh bersama-sama ABIM membangun masyrakat. Taski ABIM kini menjadi pilihan utama masyarakat, melihat akan kualiti yang dihasilkan. Dikhabarkan bahawa tiga perempat daripada calon pelajar yang berjaya memasuki SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan terdidik daripada Taski ABIM.
Beliau mengingatkan bahawa perjalanan dakwah ini amat panjang dan memerlukan kesabaran. Apa-apa mehnah dan tribulasi harus dipikul bersama, bukannya ditempuh sendirian sahaja. Beliau menyimpulkan dengan ucapan terima kasih tidak terhingga, dan majlis ini bertujuan sebagai sebahagian daripada penghargaan kepada keluarga besar ABIM, terutama pendidik Taski ABIM.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada pendidik-pendidik Taski ABIM yang telah setia berkhidmat selama lebih daripada sepuluh tahun. Mereka adalah Terima kasih dan tahniah buat mereka! Semoga menjadi pembakar semangat buat guru-guru yang lain untuk terus menyumbang bakti! Mereka adalah:
Cikgu Azian bt Hasbi
Cikgu Suriani bt Bujang
Cikgu Rokiah bt Puairi
Cikgu Kamariah bt Bohari
Semoga barisan pendidik Taski ABIM terus mengekalkan, bahkan meningkatkan daya usaha dalam mendidik masyarakat. Sesungguhnya guru adalah pedoman yang agung dalam hidup. Baik ia seorang raja, perdana menteri, doktor, jurutera, arkitek dan segala macam kejayaan manusia; segalanya bermula daripada titik yang sama: GURU.
Menegak Keadilan dan Kebenaran
Tiada ulasan
Catat Ulasan