Bertempat di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Kuching, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak telah menyertai Seminar al-Quran, Sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sarawak 1431H/2010. Seminar tersebut telah dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) pada 20 Jamadil Akhir 1431H / 3 Jun 2010. Dewan auditorium telah dipenuhi dengan peserta daripada kakitangan agensi kerajaan, jawatankuasa surau, institut pengajian tinggi (IPT), persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Majlis telah bermula tepat pada 8.00 pagi. Pembentang kertas kerja yang pertama adalah Prof. Madya Dr. Mohd Arip bin Haji Kasmo, membentangkan “Mengungkap Kemuliaan Sains dan Teknologi dalam al-Quran.”
Pembentang merupakan pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau telah menghuraikan hasil-hasil dapatan kajian beliau akan al-Quran, dalam konteks sains dan teknologi. Beliau membawa pendengar berfikir akan kebesaran Allah, bahawa segala sunnah yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T yang diungkapkan dalam al-Quran bukanlah secara kebetulan, bahkan dengan hikmah-hikmah yang tersendiri.
Pembentang kertas kerja yang kedua disampaikan oleh Sahibus Samahah Ustaz Haji Kipli bin Haji Yassin, Mufti Negeri Sarawak. Beliau telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk, “Integrasi Kaum dalam Konsep 1Malaysia: Pendekatan al-Quran dalam Memperkasakannya.” Beliau menghuraikan pembentangan kertas kerja beliau dengan mengambil iktibar daripada kitab Mukaddimah (Permulaan) daripada ulama sosiologi dan sejarah tersohor umat Islam, iaitu ibnu Khaldun. Beliau mengaitkan huraian dengan mengutarakan sepuluh ayat al-Quran berkenaan dengan memperkasakan integrasi kaum.
Pembentang yang terakhir ialah daripada Ustaz Haji Khalidi bin Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS). Beliau membentangkan kertas kerja mengenai “Pendekatan dalam Memahami Ajaran Islam Berteraskan al-Quran.” Berdasarkan pembentangan beliau, memberi gambaran umum yang jelas mengenai bagaimanakah pelaksanaan hukum dalam Islam berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Beliau juga membentangkan lapan aspek penting dalam mengeluarkan hukum, bahaya pendekatan-pendekatan pemikiran seperti Wahabiah, liberal dan pluralisme.
Seminar telah ditangguhkan dengan ucapan daripada Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), YB Hj Daud bin Abdul Rahman. Beliau menyeru dalam ucapan penangguhan beliau kepentingan memahami isi kandungan al-Quran selain daripada membacanya sebagai amalan harian. Beliau mengingatkan bahawa kejayaan umat Islam ini adalah bergantung kepada pegangannya dengan al-Quran. Seru beliau menyarankan agar masyarakat Islam Sarawak terutamanya mengadakan majlis-majlis kupasan tafsir al-Quran, agar bertambah mantap pengertian kitab suci tersebut kepada mereka.
Menegak Keadilan dan Kebenaran
Tiada ulasan
Catat Ulasan