Lawatan Muhibbah Presiden ABIM ke Taski ABIM Negeri Sarawak


Dalam rangka lawatan Presiden ABIM, Ustaz Muhd. Razak bin Idris memembentangkan kertas kerja dalam Seminar Memahami Pendekatan Dakwah Manhaj Sarawakiy dan Muktamar ABIM Negeri Sarawak ke-31, beliau berkesempatan meninjau perkembangan Taski ABIM di kawasan Matang dan Samariang, Kuching pada 1 Ogos 2010 yang lepas. Beliau telah diiringi oleh Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak merangkap Ketua Biro Pendidikan ABIM, En. Wan Azizan Wan Zainal Abidin bersama-sama exco ABIM yang lain.
Kedatangan beliau telah disambut oleh penyelia-penyelia Taski. Taklimat umum perjalanan Taski ABIM Negeri Sarawak telah dikongsikan bersama beliau. ABIM Negeri Sarawak mempunyai lapan cawangan Taski ABIM di kawasan Kuching Samarahan. Taski ABIM mempunyai total lebih daripada seribu orang pelajar dan 60 orang tenaga pendidik dan staf sokongan.
Presiden ABIM telah berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan mengenai pembaikan serta peningkatan mutu Taski ABIM. Kunjungan tersebut juga memberikan peluang kepada beliau mendengar masalah-masalah yang berlaku untuk tindakan selanjutnya.

Taski ABIM mendapat maklum balas permintaan yang tinggi di kalangan masyarakat. Bukan sahaja menawarkan antara yuran yang paling rendah di kalangan taski, tetapi Taski ABIM mempunyai kualiti tersendiri yang menjadi tarikan kepada ibu bapa. Terutama sekali ujian kelayakan kemasukan ke SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, majoriti anak-anak didik Taski ABIM mendapat tempat di sana. Namun demikian, limpahan permintaan terpaksa ditolak kerana Taski ABIM yang ada tidak mampu untuk menanggung kapasiti pelajar.
Taski ABIM terus komited dalam mengembangkan sayap dakwah melalui pendidikan anak-anak. Taski ABIM akan membuka satu lagi cawangan Samariang C di Petronesia, Semerah Padi. Cawangan tersebut akan beroperasi pada tahun 2011.
Pendidikan awal bukan sesuatu yang wajar dipandang enteng, bahkan diberikan perhatian utama. Ini kerana anak-anak yang dididik dengan nilai-nilai Islam seperti akidah, solat, adab berakhlak dan mampu membaca al-Quran merupakan harta yang tiada tara nilainya buat ibu bapa.
Anak-anak sejak awal-awal inilah mereka dibenturkan dengan ruh al-Quran, agar terbentuk generasi yang kuat imannya, baik ibadahnya dan mulia budi pekertinya dan bertanggungjawan kepada ibu bapa, guru dan masyarakat suatu hari kelak, insya-Allah.
Kenang-kenangan terpahat dengan kunjungan sejenak, sebelum beliau berangkat meinggalkan bumi Kenyalang. ABIM Negeri Sarawak mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Presiden ABIM atas kesudian mengadakan kunjugan di Bumi Kenyalang. Kami mohon kemaafan atas segala kekurangan dan khilaf sepanjang pihak tuan berada di sini. Mohon sampaikan salam kepada sahabat-sahabat keluarga ABIM di seberang sana. Semoga semarak semangat dakwah terus menyala dalam menyebarkan kalimah Allah di bumi bertuah ini. Hanya kepada Allah kita mohon kekuatan dan keberkahan dalam perjuangan.

Sekian, terima kasih. Wassalam


Menegakkan Kebenaran dan Keadilan