Seminar Memahami Pendekatan Manhaj Dakwah Sarawakiy dan Muktamar Sanawi ABIM Neg. Sarawak ke-31

Segala puji bagi Allah, Seminar Memahami Pendekatan Manhaj Dakwah Sarawakiy yang dianjurkan bersempena dengan Muktamar Sanawi ABIM Negeri Sarawak ke-31 telah diadakan dengan jayanya pada 31 Julai 2010 yang lepas. Seminar merupakan program kerjasa antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) cawangan Sarawak dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak.
Seminar telah didahulukan dengan penyampaian Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM ke-31 oleh Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak, Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan. Beliau telah menyampaikan Ucapan Dasar beliau yang bertajuk Menjunjung Tradisi Keilmuan: Menghayati Makna Rahmatan Lil ‘Alamin. Ucapan Dasar mengajak para peserta agar merenung keperluan dan keutamaan berdakwah di negeri Sarawak. Dalam huraian tersebut, menggesa agar dakwah yang disampaikan dengan penuh hikmah dalam ruang lingkup pendekatan dan pemahaman berdasarkan konteks tahap kefahaman masyarakat.
Yang Di-Pertua mengemukakan pendekatan dakwah mengikut model dakwah tersendiri bertitik tolak kepada cabaran-cabaran yang dihadapi masyarakat. Kesederhanaan dalam penyampaian dakwah adalah penting serta meletakkan diri sebagai non-partisan merupakan langkah terbaik berdakwah merentas sempadan politik. Beliau menekankan bahawa Manhaj Dakwah Sarakiy adalah kesinambungan kepada Manhaj Maliziy yang telah diketengahkan oleh ABIM semasa kepimpinan Dr. Siddiq Fadzil, yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah.
Pokok kepada manhaj ini ialah pembudayaan ilu dibugarkan agar masyarakat dibekalkan dengan kefahaman yang mantap. Hanya dengan demikian, masyarakat mampu menilai mana baik buruk tanpa dipengaruhi oleh apa-apa sentimen. Dengan ini, akan lahir masyarakat yang sedar akan kepentingan beragama dan seterusnya dakwah bolehlah beranjak kepada fasa yang seterusnya.


Pembentangan kertas kerja 1
Dakwah Global: Peranan ABIM Menangani Isu Antarabangsa
Kertas kerja yang pertama telah disampaikan oleh Presiden ABIM, Ustaz Muhd. Razak bin Idris. Kertas kerja beliau bertajuk Dakwah Global: Peranan ABIM Menangani Isu Antarabangsa. Beliau menghuraikan kepentingan dakwah di peringkat antarabangsa sebagai memenuhi syarat dakwah Islam yang bersifat syumuliyyah; iaitu menyentuh secara menyeluruh segenap aspek kehiduapn. Dalam pada itu juga, beliau menekankan peri mustahak untuk para aktivis peka akan perkembangan senario keadaan serantau. Menyahut seruan dakwah di persada antarabangsa, ABIM turut terlibat dalam usaha ini.
Beliau mengimbau sumbangan ABIM di peringkat antarabangsa melalui saluran agensi-agensi sahabat seperti WAMY, RISEAP dan UNIW. ABIM turut menghantar pasukan sukarelawan ke lokasi-lokasi berkecamuk dunia seperti di Bosnia, Afghanistan dan Palestina. Juga, ABIM membantu umat Islam yang dilanda bencana seperti di Acheh dan Padang. Global Peace Malaysia (GPM) ditubuhkan oleh ABIM berperanan aktif dalam bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Pembentang telah membuat pengamatan akan cabaran dalam menangani isu semasa, iaitu dakwah masyarakat berhijrah, kajian dasar antarabangsa, kerjasama ummah, pembangunan imej Islam dan peka terhadap penglibatan dalam isu-isu global. Amat penting bagi seseoran aktivis mengambil peduli akan hal-hal di luar lingkungannya. Ini menunjukkan bahawa kepentingan akan budaya ambil tahu dan budaya ilmu harus disemai agar meniumbulkan kepedulian terhadap isu yang berlaku. Dunia ini semakin mengecil tanpa sempadan; sukar sekali ada perkara berlaku tidak akan terkena langsung tempiasnya kepada kita.

Pembentangan Kertas Kerja 2

Dakwah Masyarakat: Pendekatan Manhaj Dakwah Sarawakiy
Setelah meneliti pri mustahak akan dakwah di peringkat antarabangsa, seminar membawakan para hadirin untuk mengamati Dakwah Masyarakat: Pendekatan Manhaj Dakwah Sarawakiy. Pembentang ialah Ustaz Suhardi bin Hj Edward, mantan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak.
Beliau mengajak para hadirin menyelusuri perjalanan dakwah yang telah berlangsung sejak awal kedatangan Islam di Sarawak. Para pendakwah dari Brunei telah memainkan peranan dan diteruskan oleh peribumi sendiri. Pembentangan beliau merincikan lagi penyampaian ucapan dasar Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak, Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan pada sebelumnya.
Seminar disudahi dengan persembahan qosidah oleh PERKEPIS Mawlid Ensemble dan Madrasah al-Khairat. Menampilkan tiga lagu, kedua-dua pasukan menyampaikan persembahan mantap qosidah Iftitah, Qul ya ‘Azim dan An-Nabi Sollu ‘Alaih. Kemunculan persembahan qosidah ini dalam usaha meniti kembali dakwah oleh para Wali Songo di kepualauan Jawa pada suatu masa dahulu.
Qosidah yang dialunkan sarat dengan puji-pujian zikir kepada Allah, selawat atas Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan doa. Saluran qosidah di pentas masyarakat menyediakan hiburan alternatif sekali gus membudayakan zikir, selawat dan doa.


Persidangan Muktamar Sanawi ABIM ke-31
Persidangan Muktamar Sanawi ABIM Negeri Sarawak ke-31 telah bermula pada sebelah petangnya. Muktamar telah dipengerusikan oleh pengerusi tetap muktamar, En. Mohamat Rahmat Jamali, ahli ABIM dari Bintulu. Muktamar dihadiri oleh ahli ABIM, guru-guru Taski ABIM serta ahli-ahli Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS). Muktamar telah membentangkan laporan-laporan program dan pelaksanaan perancangan yang telah diadakan sepanjang sesi 2009-2010.

Muktamar ini juga memberi peluang kepada para muktamrini dan muktamirat untuk mengoreksi kembali pengurusan perjalanan dakwah yang dijalankan. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, empat daripada lima fokus yang digariskan pada sesi yang lepas tercapai. Syukur sekali lagi yang tidak terhingga kepada Allah, ABIM Negeri Sarawak masih lagi diizinkan wujud dan bertahan. Ini tidak lain dengan nikmat yang Allah salurkan kepada generasi ini melalui generasi rintis yang membawa mereka jasa yang tidak ternilai harganya. Dedikasi terima kasih sekalung budi ditujukan khas kepada generasi Yayasan Madani/WADAH, terutama Orang Ninggal (Allahyarham) al-Fadhil Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon. Semoga Allah merahmati ruh beliau. al-Fatihah.
Muktamar kali ini menyaksikan pimpinan masih dikekalkan seperti sesi yang lepas kecuali ada beberapa perubahan. Pimpinan sesi baru telah diumumkan oleh Presiden ABIM, Ustaz Mohd. Razak bin Idris. Berikut ialah saf pimpinan kanan ABIM Negeri Sarawak sesi 2010-2011:

Yang Di-Pertua : Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan
Timb. Yang Di-Pertua : En. Wan Azizan Wan Zainal Abidin
Setiausaha : En. Safiee bin Hanapi
Bendahari : En. Afham Jauhari bin Aldi
Ketua HELWA : Cik Shamsiah bt Mahli

Mudah-mudahan melalui muktamar memberikan suntikan yang lebih kuat untuk momentum dakwah di bumi Sarawak. Belia Islam khususnya, harus mempersiap diri agar lebih tegar berdepan dengan cabaran yang semakin berliku.

Terima kasih sekalung budi buat semua individu mahupun organisasi yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam menjayakan program yang amat bermakna ini. hanya Allah sahaja yang membalasi kalian.

Penglibatan kalian adalah bertitik tolak kepada kebimbangan akan pelbagai masalah yang merundung masyarakat. Terutama masalah yang melibatkan orang muda, hal ini harus dijadikan sebagai desakan kuat agar berusaha lebih kuat. Bagaimanakah meraih redha Allah, seandainya kita sendiri masih lagi di takuk yang lama ataupun berada di zon selesa?

Oleh yang demikian, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak menyeru agar berdiri bersama-sama ABIM menghadapi masa depan bersama dalam satu barisan, satu saf. Agar suatu hari kelak pada hari yang tidak berguna penyesalan, kita tidak merintih menangis kerana tidak berbuat sesuatu pun membantu umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam ketika diberi peluang di dunia ini.
Ayuh, kita jelmakan penghayatan terhadap makna menyambung tugas yang telah diwarisi oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam: Rahmatan Lil 'Alamiin, Rahmat tersebar ke Serata Alam...
"Tidak kami utus engkau (wahai Nabi Muhammad s.a.w) melainkan untuk menjadi rahmat ke serata alam"
(Surah al-Anbiya', 21: 107)

Menegakkan Kebenaran dan Keadilan
TAG