Usrah keluarga besar PERKEPIS-ABIM-WADAH telah diadakan pada 1 Ogos 2010 yang lepas bertempat di Pusat Intelek Muslim ABIM di Bandar Baru Samariang. Usrah tersebut telah diadakan bersempena dengan kehadiran Presiden ABIM, Ustaz Muhd. Razak bin Idris bersempena membentangkan kertas kerja beliau bertajuk Dakwah Global: Peranan ABIM dalam Menangani Isu Antarabangsa. Kertas kerja tersebut telah dibentangkan dalam Seminar Memahami Pendekatan Manhaj Dakwah Sarawakiy bersempena Muktamar Sanawi ABIM ke-31 pada 31 Julai 2010 bertempat di Auditorium DBKU, Kuching.
Usrah gabungan tersebut telah dihadiri oleh kira-kira 20 orang daripada tiga generasi PERKEPIS-ABIM-WADAH. Ikatan persaudaraan ukhuwah sesama ahli usrah dieratkan dengan sapaan mesra dan senda gurau, setelah sekian lama tidak bersua sebegini. Usrah telah dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak, Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan.
Agenda usrah diteruskan dengan mendengar lontaran pandangan daripada Presiden ABIM. Beliau telah mengajak ahli usrah kembali membugarkan kefahaman asas dalam dakwah; iaitu dakwah sebagai penjelmaan tauhid dalam kehidupan seharian, dengan membawa manusia kepada makruf dan mencegah daripada kemungkaran.
Atas asas kefahaman inilah, kerangka dakwah ABIM menggariskan penjelmaan tersebut dalam bentuk-bentuk dakwah yang praktikal dan mendasar kepada masyarakat. Bersempena dengan itulah, menurut Presiden ABIM, Seminar Maqasid Syariah: Menggagas Model Ekonomi Berkeadilan bakal diadakan bersempena Muktamar Sanawi ABIM Kebangsaan ke-39.
Usrah telah direspon dengan cukup baik. Ayahanda-ayahanda WADAH berpeluang berkongsi akan pandangan dan pengalaman mereka di arena dakwah, menjadi aset berharga buat tenaga-tenaga muda ABIM dan PERKEPIS.
Kekuatan istiqamah mereka dalam dakwah begitu mengagumkan. Mereka merupakan kolompok rintis yang telah membina tiang-tiang asas ABIM pada peringkat awal di Sarawak. Dan mereka masih istiqamah walau telah mengharungi perjuangan setelah puluhan tahun.
Sesungguhnya pertemuan ini cukup bermakna buat seluruh ahli usrah. Yang muda disantuni dan disayangi; manakala yang tua dihormati. Bak kata Buya HAMKA, “Orang tua merupakan orang yang sudah kendur kudratnya tetapi luas akan pengalamannya. Akan tetapi, orang-orang muda ini masih kuat tenaganya. Kadang-kadang, ia terlalu tergesa-gesa dan tergelincir. Alangkah baiknya jika ada gabungan padu antara kedua-dua golongan ini.”
Akhir kalam, Presiden ABIM menyimpulkan bahawa Manhaj Dakwah Sarawakiy perlu diteliti kembali dan dihadam agar dapat diamalkan secara praktikal dalam konteks dakwah masyarakat di Sarawak. Semoga usrah tersebut memperkasa ikatan tali ukhuwah, memperluas fikiran dan menyalakan obor semangat dakwah, sungguh, perjalanan dakwah ini panjang, dan generasi mendatang harus mempersiap diri sehingga tiba waktunya kelak! Semoga Engkau memberi kekuatan kepada kami, ya Rabb!
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Tiada ulasan
Catat Ulasan