[ABIM] Semurni Kasih Ramadhan 1431H


Daripada Anas radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu alaihi wasallam ditanya,“Apakah sedekah yang paling utama?” Jawab baginda s.a.w, “Sedekah yang dilakukan dalam bulan Ramadhan.”
(Hadith Riwayat Imam Tarmizi)

Merebut peluang keemasan akan kelebihan-kelebihan dalam bulan Ramadhan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak buat tahun ketiga menganjurkan program Semurni Kasih Ramadhan 3 pada Ramadhan yang lalu. Projek tahunan ini menyahut seruan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, bahawa seutama-utama sedekah adalah pada bulan Ramadhan.
Program tersebut bertujuan menebarkan kasih sayang kepada masyarakat memerlukan. Mudah-mudahan, beban mereka diringankan dan berpeluang meraikan Syawal kelak dalam keadaan yang lebih sempurna.

ABIM Negeri Sarawak berganding bahu dengan Taski ABIM Negeri Sarawak berperanan mengumpul, membahagi dan mengagihkan barangan-barangan keperluan seharian kepada golongan-golongan yang memerlukan. Barangan tersebut merupakan sumbangan ihsan daripada ibu bapa pelajar Taski/Tahfiz, orang ramai dan agensi-agensi seperti BERNAS dan pasukan polis Pasukan Gerak Am (PGA) Batu Kawa.


Barangan merupakan beras, baju-bajuan serta barangan asasi seharian seperti gula, roti, susu dan lain-lain lagi. Sambutan daripada masyarakat luar biasa sekali, barangan yang disumbangkan membolehkan pasukan Semurni Kasih Ramadhan 3 mengagihkan kepada tambahan masyarakat di tempat-tempat lain. Baki barangan yang tidak sempat dihulurkan insya-Allah akan disampaikan pada Syawal kelak.



Syukur, dengan nikmat yang Allah telah berikan, pasukan ABIM telah berpeluang mengagihkan bantuan di beberapa tempat. Begitu hangat penerimaan mereka, membuatkan kami merasa terharu, ada ketabahan yang tinggi di sebalik kegetiran hidup mereka:

1.Matang, Kuching 15 Ramadhan 1431H / 26 Ogos 2010
Destinasi pertama Semurni Kasih Ramadhan 3 ialah di Matang, sekitar Taman Won. Keadaan hidup saudara kita di sana daif sekali. Sempat juga tuan-tuan rumah berkongsi pengalaman keperitan hidup kepada ahli rombongan. Terlalu haru sekali, masih ada golongan yang hidup seperti ini, di celah-celah arus pembangunan. Sebanyak dua keluarga telah menerima bantuan


2. Kpg Samariang Midin, Kuching 16 Ramadhan 1431H / 27 Ogos 2010
Seramai 12 penerima telah mendapat sumbangan Semurni Kasih Ramadhan 3 pada 16 Ramadhan 1431H / 27 Ogos 2010. Sumbangan disampaikan di Surau Mid-Deen, Kampung Samariang Midin.

3.Kpg Lintang, Kuching, 16 Ramadhan 1431H / 27 Ogos 2010
Seramai tujuh orang telah menerima sumbangan Semurni Kasih Ramadhan 3 di kampung tersebut.



4.Kpg Tebun, Simunjan 16 Ramadhan 1431H / 27 Ogos 2010
Kampung tersebut didiami oleh saudara-saudara baru. Bantuan diserahkan oleh Ustaz Azman pada 29 Ogos 2010. Seramai 13 orang penerima telah diagihkan.


4.Kpg Mongkos, Serian 18 Ramadhan 1431H / 29 Ogos 2010
Destinasi pada 18 Ramadhan 1431H / 29 Ogos 2010 di Kampung Mongkos, Serian merupakan petempatan komuniti Muslim Bidayuh. Pasukan ABIM dibantu oleh teman-teman daripada Alumni ESQ Sarawak melancarkan program. Dalam sesi tersebut, pelbagai aktiviti bersama telah diadakan, termasuk bersungkei ramai-ramai (berbuka), solat tarawih, tazkirah dan penyampaian sumbangan Semurni Kasih Ramadhan 3.



Sebanyak 13 keluarga saudara baru telah menerima bantuan. Terima kasih atas santapan sungkei (berbuka) pangkang (nasi pulut dibakar dalam buluh) dan kaboh (nasi ayam berserai yang dimasak dalam buluh) yang enak sekali!

5. Kpg Tabuan Lot, Kuching 19 Ramadhan 1431H / 30 Ogos 2010

Seramai 14 keluarga telah menerima sumbangan pada 30 Ogos 2010 di Kampung Tabuan Lot, Kuching.

Sebelum penyampaian sumbangan, Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak, Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan telah memberi tazkirah ringkas kepada hadirin.Rombongan ABIM sempat meninjau rumah-rumah yang musnah dijilat api di kampung tersebut. Seramai 12 keluarga merangkumi 100 orang telah dilanda musibah. Semurni Kasih Ramadhan 3 menghulurkan bantuan kepada mereka pada hari yang lain.
Terima kasih sekali lagi buat semua penyumbang dan individu yang telah membantu melicinkan perjalanan program Semurni Kasih Ramadhan 3 anjuran ABIM Negeri Sarawak ini. Terutama para ibu bapa Taski/Tahfiz ABIM, ahli masyarakat, Alumni ESQ Sarawak serta agensi seperti BERNAS dan Pasukan Gerak Am (PGA) Batu Kawa dan akhir sekali, penggerak-penggerak ABIM yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini.

Diharapkan agar Semurni Kasih Ramadhan 3 kali ini menjadi sekelumit modal taqwa akan ikhtiar kita beramal pada bulan Ramadhan ini menjadi asbab rahmat-Nya pada Hari Kiamat kelak. Semoga juga dengan menebarkan budaya tolong-menolong antara ahli masyarakat dapat mempererat siratulrahim, menjentik akan keprihatinan kita dan menyanggupi menanggung beban bersama-sama. Sesungguhnya Allah mengkehendaki agar kita ini saling tolong menolong atas jalan taqwa, bukan jalan-jalan kemudaratan. Semoga Semurni Kasih Ramadhan 3 ini dipandang dan diterima amalan oleh Allah S.W.T, ameen...

“...barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah Telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (at-Thalaq, 65:2-3)

Semoga Ramadhan ini, kita beroleh rahmat, keampunan.... dan pembebasan daripada api neraka...

“Sesiapa berpuasa Ramadhan dan berjaga pada malamnya dengan penuh iman dan ihtisab, nescaya diampuni segala dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

“Menegak Keadilan dan Kebenaran”
TAG