Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak telah membuat laporan polis berkenaan dengan video yang berunsurkan fitnah menghina Islam pada 29 September 2010 yang lepas. Video tersebut yang merupakan ceramah disampaikan oleh seorang misionari / paderi yang bernama Benjamin Stephen, dipercayai diadakan di gereja di Kuching pada 2006 yang lalu.
Isi ceramah tersebut secara terang-terangan menafsirkan kandungan Islam dengan tidak benar dan menyeleweng daripada maksud yang sebenar. Antara lain ialah, ceramah tersebut menghina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Video tersebut telah lama wujud di laman youtube, tetapi kecoh sejak akhir-akhir ini ekoran sebaran melalui rangkaian sosial internet, Facebook.
ABIM Negeri Sarawak mengambil inisiatif membuat laporan polis kerana perkara ini mampu menggugat keharmonian dan kerukunan antara kaum dan agama di negeri ini khususnya. Diharapkan agar pihak berkuasa meneliti hal ini dengan saksama serta mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya. Keharmonian yang terjalin elok setelah sekian lama perlu dipertahankan. Aliran pemikiran yang merosakkan binaan kukuh masyarakat perlu dibendung, demi generasi mendatang.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Tiada ulasan
Catat Ulasan