Persidangan Persatuan Belia Negeri Sarawak Tahun 2010


“Jika kamu ingin lihat masa depan negara, maka lihatlah kepada anak mudanya”
~Pepatah masyhur (dinisbahkan kepada Sayyidina Ali, Imam Ghazali dan Yusuf Qaradhawi)

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak telah dijemput menyertai Persidangan Persatuan Belia Negeri Sarawak Tahun 2010 pada 9 Oktober 2010 yang lepas. Program tersebut telah dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) dan SEBERKAS, bertempat di Hotel Four Points, Kuching. Persidangan tersebut telah dihadiri oleh kira-kira seratus pimpinan belia daripada pelbagai persatuan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

Persidangan dirasmikan oleh oleh Presiden SEBERKAS, YB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zojari. Persidangan tersebut bertujuan untuk membincangkan isu-isu berkenaan dengan pembangunan belia dalam menyumbangkan kemantapan kemandirian belia Sarawak.

Persidangan diisi juga dengan pembentangan kertas kerja “Cabaran dan Halatuju Persatuan Belia di Negeri Sarawak” oleh wakil SEBERKAS Negeri Sarawak dan “Analisis Belia Survey” oleh YB Larry Sng Wei Shien, Menteri Muda Hal Ehwal dan Latihan Belia. Persidangan diakhiri dengan dialog antara penganjur dengan para peserta, dalam membincangkan kepentingan belia Sarawak bersama. Diharapkan dengan persidangan ini membuahkan jalinan harmoni antara belia. Melalui interaksi sesama belia, perkongsian ilmu dan pengalaman serta bidang kepakaran masing-masing dapat disalurkan kepada kepentingan bersama.


Sesungguhnya masa muda inilah masa keemasan untuk mencurah bakti kepada masyarakat, sebelum mencecah usia emas. Masa muda belia ini kudrat masih cergas, akal masih cerdas, tingkah masih pantas. Curahkanlah kebaktian sementara masa masih ada.

“Menegak Kebenaran dan Keadilan”
TAG