Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasasalam, sebagai Rasul penutup Utusan Ilahi, yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kesempitan alam kehidupan kepada lapangnya kehidupan akhirat.
Syukur kepada Allah, Majlis Konvokesyen Taski ABIM Kuching / Kota Samarahan 2010 telah diadakan dengan jayanya pada 29 Zulkaedah 1431H / 6 November 2010 yang lalu. Bertempat di Balai Budaya dan Pustaka Kuching, majlis tersebut telah diadakan untuk meraikan 397 pelajar 6 tahun seluruh Taski Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak yang telah menamatkan pra-sekolah mereka. Hari tersebut merupakan tentunya hari yang berbahagia dan bermakna bagi sekeluarga.
Kira-kira seribu hadirin daripada para ibu bapa dan sanak saudara para pelajar telah menghadiri majlis tersebut. Para mantan ABIM Negeri Sarawak, juga dikenali sebagai Yayasan Madani juga telah hadir. Mereka merupakan antara pengasas berjasa kepada kewujudan Taski ABIM yang lebih daripada dua dekad. Majlis turut disaksikan dan dibantu oleh para pimpinan ABIM Negeri Sarawak dan para aktivis Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS). Tidak dilupakan terutamanya kakitangan dan barisan pendidik Taski ABIM Negeri Sarawak.
Buat kali pertama kalinya, majlis konvokesyen Taski ABIM Negeri Sarawak telah dihadiri oleh Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ustaz Dr. Muhammad Razak bin Idris. Kehadiran beliau telah menyerikan majlis. Beliau telah diberikan penghormatan untuk menyampaikan amanat dan sekaligus merasmikan majlis tersebut.
Pelbagai acara telah berlangsung. Keterlibatan para pelajar Taski ABIM daripada segenap lapan cawangan telah menyerikan majlis. Telatah mereka yang pelbagai, lucu dan mencuit hati melahirkan suasana yang meriah.

Atas: Guru dan pelajar Taski ABIM Sri Wangi mendendangkan alunan selawat ketika ketibaan Presiden ABIM
Pelbagai persembahan telah diadakan. Persembahan disampaikan oleh para pelajar Taski ABIM daripada seluruh cawangan Kuching / Kota Samarahan. Berikut merupakan warna-warni wajah ceria putera puteri yang menyeri majlis.
1.Taski ABIM Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan
2.Taski ABIM Taman Sri Wangi, Kuching
3.Taski ABIM Matang Jaya, Kuching
4.Taski ABIM Samariang A, Kuching
5.Taski ABIM Taman Samar Indah, Kota Samarahan
6.Taski ABIM Tabuan Jaya & Kpg. Cemerlang, Kuching
Kemuncak majlis ialah penyampaian sijil tamat Taski ABIM diserahkan oleh Presiden ABIM Ustaz Dr. Muhammad Razak bin Idris, ditemani oleh Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak, Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan dan Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak merangkap Ketua Biro Pendidikan ABIM, En. Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin.
Hanya doa dan sokongan semua pihak kami harapkan, agar perjuangan kami ini diteruskan dengan penuh semangat sampai bila-bila. Kami ini hanyalah penerus, penyambung mata rantai perjuangan mendidik masyarakat dan memegang amanah itu oleh generasi perintis yang telah membuka jalan yang begitu luas untuk kita lalui pada hari ini. Segala hasil pada hari begitu terhutang budi kepada generasi pendahulu mewujudkan Taski ABIM di Bumi Kenyalang ini, terutama yang dipimpin oleh Allahyarham Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon dan sahabat-sahabat seperjuangan beliau yang hadir pada hari ini. Kita sedekahkan al-Fatihah buat beliau.
Terima kasih sekalung budi buat semua insan yang terlibat, sama ada secara langsung mahupun tidak.... Belakang tabir majlis konvokesyen...






Akhir kalam, pimpinan ABIM dan warga Taski ABIM ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada hadirin dan hadirat atas doa dan sokongan yang anda berikan sehingga ke saat ini. Kami memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang perkhidmatan yang kami tawarkan. Semoga amalan-amalan yang kecil ini, akan menjadi sebab datangnya rahmat Allah yang akan membawa kita ke syurga. Ameen.
Menegakkan Kebenaran dan Kebenaran
Tiada ulasan
Catat Ulasan