
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak dengan kerjasama Unit Dakwah TASKI/TAHFIZ ABIM Kuching/Kota Samarahan akan menganjurkan program Semurni Kasih Ramadhan 4 bertemakan Semulia Tangan yang Memberi, sepanjang bulan Syaaban dan Ramadhan 1432H (Julai-Ogos 2011). Program ini merupakan program tahunan anjuran pihak kami, dan tahun ini merupakan tahun ke tiga program ini dilaksanakan.
Pelaksanaannya sama seperti tahun-tahun sebelum ini, iaitu pihak kami mengumpul sumbangan daripada orang ramai dalam bentuk wang tunai, makanan, seperti beras, gula, minyak, biskut dan apa sahaja yang dirasakan perlu. Barang-barang yang dikumpul kesemuanya akan diserahkan kepada golongan yang memerlukan, dan tempat-tempat agihan akan ditentukan kemudian.
Justeru itu, pihak kami sangat berbesar hati memohon sumbangan daripada pihak tuan/puan dalam menjayakan program ini, dalam usaha kita meringankan beban masyarakat kurang berkemampuan di sekeliling kita. Tarikh pengumpulan barang sumbangan bermula 4 Julai 2011 sehingga 19 Ogos 2011, dan tempat pengumpulan ialah di setiap cawangan TASKI / TAHFIZ yang berdekatan dengan anda. Sebarang pertanyaan pihak tuan/puan boleh menghubungi Safiee Bin Hanapi / Puan Hajariah Senar di talian 082-446217 / 010-532 4561.
Untuk makluman anda, laporan Semurni Kasih Ramadhan 3 (1431H) pada tahun 2010 boleh didapati di sawang ABIM Negeri Sarawak di pautan ini.
Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan/puan sangatlah kami hargai dan kami dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.
Sekian.
Yang menjalankan tugas,
SAFIEE BIN HANAPI
Setiausaha Kewangan merangkap Ketua Biro Penataran
ABIM Negeri Sarawak
Tiada ulasan
Catat Ulasan