Tinjauan Prihatin ABIM akan Mangsa Kebakaran


TABUAN MELAYU, KUCHING, 27 Julai 2011 - Seramai 55 orang yang terdiri daripada kira-kira 9 buah keluarga menjadi sehelai sepinggang dalam sekelip mata sahaja apabila kediaman mereka dijilat api semalam. Kejadian tersebut berlaku pada pagi 27 Julai 2011, Rabu kira-kira pada pukul 2.00 pagi. Bencana tersebut telah merentungkan 6 buah rumah dan sebahagian dua buah rumah. Masyarakat kampung tidak dapat berbuat apa-apa apabila api marak dengan cepatnya. Syukur kepada Allah, tidak ada seorang pun yang tercedera ataupun kehilangan jiwa. Namun demikian, terdapat dua mangsa yang memerlukan bantuan sebaiknya; iaitu seorang bayi berumur 8 hari dan ibunya.

Beberapa wakil ABIM Negeri Sarawak telah tiba di lokasi kebakaran. Masih terdapat mangsa kebakaran yang sedang berteduh di rumah-rumah jiran dan sanak saudara. Pilu benar apabila melihat mereka yang tiada lagi tempat berteduh dan hilang harta benda. Beberapa agensi turut hadir di tempat tersebut di kalangan agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

ABIM Negeri Sarawak telah menghulurkan bantuan kebajikan kepada mangsa kebakaran. Semoga bantuan tersebut dapat meringankan bebanan yang dihadapi. Sesungguhnya hal yang demikian merupakan ujian yang harus kita ambil iktibar agar kita lebih bersyukur dan membantu mereka yang amat memerlukan.
Gambar: En. Safiee bin Hanapi, Bendahari Kehormat ABIM Negeri Sarawak bersama Pegawai Khidmat Masyarakat, DUN N.5 Demak Laut (kawasan Y.B Dr. Hazland bin Hipni)


Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, boleh hubungi kami di talian 082 - 446 217 ataupun En. Safiee di talian 010 - 532 4561. Kita doakan agar mangsa tabah menghadapi ujian. Ameen.

"Membina dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah"
TAG