SKR 4 (3): Setinggan Taman Won Baru, Matang


Semurni Kasih Ramadhan 4 hari ketiga menjejaki beberapa buah keluarga di setinggan Taman Won Baru, Matang, Kuching pada Khamis, 11 Ramadhan 1432H / 11 Ogos 2011. Rombongan telah menziarahi empat buah keluarga di kawasan tersebut. Keluarga-keluarga tersebut menjadi perhatian program ini sejak tahun lepas. Mereka adalah di kalangan fakir miskin yang hidup dalam serba daif tanpa keperluan asas yang mencukupi terutama seperti bekalan elektrik, air bersih dan saliran.


Perjalanan begitu mengharukan sekali. Bagaimana, mereka juga sebagai manusia yang hidup di persekitaran kita meneruskan kehidupan dalam serba-serbi kekurangan. Berikut merupakan nama-nama wakil keluarga yang telah disenarai menerima sumbangan:

1. Pn. Enah bt. Rajak
2. Pn. Fatimah bt. Sen
3. Pn. Faridah bt. Sam
4. Pn. Yak bt. Sulai

Salah seorang daripada penerima sumbangan ini adalah seorang ibu yang terpinggir oleh anak angkatnya. Kini beliau dijaga dan dipelihara oleh jiran beliau Pn. Faridah bt. Sen. Beliau telah menghidap penyakit angin ahmar. Separuh daripada badan beliau lumpuh. Beliau tidak berdaya untuk bangun, apatah lagi berjalan. Namun demikian, beliau sentiasa diziarahi oleh kelurga jirannya.

Bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan lampin dan ubat-ubatan. Apapun, jasa baik jiran tidak ternilai harganya. Pn. Yak telah dijaga dengan baik tanpa mengharapkan pulangan walaupun mereka tidak mempunyai ikatan persaudaraan langsung.

Sesungguhnya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam merupakan manusia yang paling pemurah di muka bumi ini. Baginda telah mempertontonkan kita budi pekerti mulia yang tiada tandingan. Disebutkan oleh Imam Tirmizi dalam kitab Syamail Muhammadiyah, baginda sallallahu alaihi wasallam lebih pemurahnya pada bulan Ramadhan, seperti angin yang berhembus.

Marilah kita renungkan kalam-kalam ulama ulung ini daripada kitab beliau, Insan Kamil oleh Prof. Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki tentang pemurahnya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam:

“Kedermawanan Nabi sallallahu alaihi wasallam, serta kemurahan hati dan tangannya, bukan sekali-kali untuk mengharapkan pujian, atau sekadar menjaga diri dari celaan, dan tidak pula untuk kebanggaan atau mempengaruhi orang lain. Tetapi semata-mata untuk jalan Allah dan keredhaan agama. Serta untuk mendukung dakwah, menghadapi mereka yang mencuba menentang tegaknya ajaran Allah, atau mereka yang tidak sanggup lagi mencari nafkahnya, dan untuk mengasuh yatim piatu, dan janda terlantar.

... Sejarah kehidupan Nabi sallallahu alaihi wasallam adalah fakta yang berbicara tentang betapa kedermawanan, keterbukaan tangan dan kemurahan hati baginda yang tiada taranya itu, dan betapa pemberian-pemberian yang sedemikian banyaknya itu, kepada mereka yang memerlukannya. Sedang dirinya dan keluarganya masih belum dapat dikatakan berkecukupan, kalau tidak boleh dikatakan masih serba kekurangan...”

Moga tauladan sepanjang zaman ini menjadi inspirasi terbesar untuk mengejar redha-Nya, Insya-Allah. Insya-Allah Semurni Kasih Ramadhan 4 akan diteruskan pada minggu kedua Ramadhan. Program adalah seperti yang berikut:

Tarikh: 15 Ramadhan 1432H / 15 Ogos 2011, Isnin 2011,Isnin Tempat: Kpg. Telaga Air Penerima: 20 keluarga

Tarikh: 16 Ramadhan 1432H / 16 Ogos 2011,Selasa Tempat: Kpg. Sg. Laruh, Kuching Penerima: 26 keluarga

Tarikh: 17 Ramadhan 1432H / 17 Ogos 2011, Rabu Rabu
Tempat: Tabuan Hilir, Kuching
Penerima: 9 keluarga mangsa kebakaran


Insya-Allah rombongan akan bertolak pada 8.30 pagi setiap kali program. Bagi sesiapa yang berminat, anda digalakkan untuk menggunakan pengangkutan sendiri. Ini kerana barangan sumbangan agak banyak dan berat. Bersamalah kita hulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Kita gembeleng segala yang mampu, agar menjadi kebangaan sebaik suri tauladan sepanjang zaman, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam...


“Mereka bertanya kepadamu tetang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: ‘Apa sahaja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan.’ Dan apa saja kebajikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”
(Surah al-Baqarah, 2: 215)


“Memacu Wawasan Khayra Umah”
TAG