PROGRAM SEMURNI KASIH RAMADHAN (KEMPEN SEORANG SEKAMPIT BERAS)




Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak sekali lagi pada tahun ini meneruskan Program Semurni Kasih Ramadhan (Kempen Seorang Sekampit Beras). Program kali ini merupakan program Siri Ke 6 sejak dilancarkan pada tahun 2008 yang lalu. Antara matlamat penganjuran program ini antaranya adalah meringankan beban-beban saudara kita yang hidup dalam keadaan dhaif, serba kekurangan agar sama-sama dapat merasai nikmat dalam bulan Ramadhan lebih-lebih lagi lebaran yang akan menjelang tiba.

Pada tahun ini, program ini diawalkan memandangkan musibah yang telah menimpa saudara-saudara kita di Sibu dalam kejadian kebakaran di Kampung Datu, Sibu yang mengakibatkan hampir kesemua mangsa hanya tinggal sehelai sepinggang. Oleh itu, pada 5 Julai 2013 yang lalu, penghantaran bantuan kali pertama ke Kampung Datu, Sibu telah dijalankan oleh ABIM Negeri Sarawak dengan diwakili oleh Encik Mahathir Fatimah, Setiausaha ABIM Negeri Sarawak, Saudara Hasif Malique, Yang Di Pertua PERKEPIS dan saudara Raufa Aminuddin, selaku Timbalan Yang Di Pertua PERKEPIS. 

Majlis penyerahan Sumbangan & Bantuan




ABIM Negeri Sarawak selaku juru bicara umat, mengajak dan menyeru seluruh umat Islam agar sama-sama dapat merealisasikan cita-cita murni ini. Allah s.w.t berfirman:

Maksudnya:

Tiada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat makruf (kebaikan), dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar.

(Surah An-Nisa’:14) 
ABIM Negeri Sarawak bersedia menerima apa jua bentuk sumbangan seperti beras terutamanya, barang keperluan dapur seperti, gula, susu, kopi, milo dan sebagainya, pakaian yang masih sempurna sifatnya, wang ringgit daln lain-lain. Sumbangan boleh dihantar ke Sekretariat ABIM Negeri Sarawak di alamat No. 1193 Tingkat 1, Jalan Menggris, Taman Sri Wangi, Kuching atau dihantar ke Taski-Taski ABIM yang berdekatan. Untuk sumbangan kewangan, boleh disalurkan melalui Akaun ABIM Negeri Sarawak di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama ABIM SARAWAK, nombor akaun 11013010075532.



Justeru itu, marilah sama-sama kita berusaha meningkatkan amalan sempena menjelangnya bulan Ramadhan tidak lama lagi dan Syawal yang akan menyusul. Pertingkatkan amalan kerohanian, banyakkan bersedekah, semoga Allah menempatkan bersama golongan-golongan orang yang beriman!









TAG