Sedih dan kecewa adakalanya menyentuh hati kita secara tiba-tiba. Seolah-olah terasa diri dipinggirkan dan disisihkan. Tetap merasa keseorangan walaupun berada di tengah ramai, dikelilingi sahabat dan keluarga. Mengapa? Apakah yang menjadi punca kita berperasaan begitu? Ya, tidak dinafikan pada masa itu hati kita sarat menanggung pelbagai rasa, tidak tenang dan tidak tenteram. Fikiran bercelaru di mana segala pekerjaan yang dilakukan tidak menjadi. Terlintas dihati mengapa kita dalam keadaan yang sedemikian.
Gembira pada dunia merupakan salah satu sebab kelalaian kita pada perintah Allah swt. Terlalu mendambakan kemewahan dunia, pangkat dan harta sehingga lupa pada tanggungjawab sebagai seorang khalifah di muka bumi. Maka atas sebab itu Allah swt telah mencampakkan perasaan sedih dan kecewa di dalam hati kita secara tiba-tiba supaya kita ingat kepada-Nya. Ibn Atha‟ilah Al-Sakandari menyatakan :
“ Apabila Allah menjadikan kamu rasa tidak seronok, jemu dan tidak tenang dengan makhluk-Nya, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Dia mahu membuka untukmu pintu perasaan tenang, gembira, seronok dan tidak kesepian dengan-Nya.”
Segala ujian yang ditimpakan ke atas manusia mempunyai pelbagai sebab dan hikmah. Antaranya untuk menunjukkan betapa Allah swt juga rindu pada hamba-Nya. Maka Allah kirimkan ujian sebagai hadiah supaya kita mengingatinya. Dalam hadith qudsi Allah swt berfirman:
“Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya.” (HR. Thabrani dari Abu Umamah)
Fitrah manusia, apabila diuji barulah sedar untuk mengingati-Nya dan mengakui kebesaran-Nya. Kita memohon kepada-Nya supaya dihilangkan kesedihan dan gantikan dengan kebahagiaan. Tetapi apabila permohonan kita diperkenankan kita lupa untuk berterima kasih pada-Nya dan melupakan-Nya. Malah, kita abaikan segala tanggungjawab kita kepada-Nya. Terlalu banyak dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari. Maka, ujian diberi untuk menegur kesilapan dan kesalahan kita. Namun apa yang menjadi persoalannya, adakah kita mengakui setiap kesalahan dan kesilapan yang dilakukan? Malah, kita merasakan Allah swt tidak adil pada kita. Namun, adakah kita sedar ujian itu untuk menebus dosa-dosa kita yang lalu.? Abu Said dan Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW. bersabda:
“Seorang muslim yang ditimpa penderitaan, kegundahan, kesedihan, kesakitan, gangguan, dan kerisauan, bahkan hanya terkena duri sekalipun, semuanya itu merupakan kafarat (penebus) dari dosa-dosanya.”(H.R. Bukhari dan Muslim)
Lihat, betapa kasihnya Allah swt kepada kita. Sayang Allah swt kepada hamba-hamba-Nya itu melebihi kasih sayang yang diberikan oleh seorang ibu kepada anaknya. Buktinya, walaupun hamba-hamba-Nya telah berbuat dosa namun tetap diberikan peluang untuk membersihkan dosa melalui ujian-ujian yang diberikan. Sabar dan redha dengan ujian itu dinilai sebagai cara untuk menghapuskan dosa. Ya, kadang-kadang kita merasa ujian yang diberikan sangat berat sehingga kita tidak mampu menanggungnya. Namun apabila kita redha dan sabar, kita mampu dan tabah mengharunginya. Kerana, Allah swt menguji mengikut kemampuan hamba-Nya. Sesungguhnya kesabaran itu natijahnya cukup indah. Sebab itu dikatakan “sabar itu Indah”.
Usah mempersoalkan mengapa diri diuji sedemikian rupa. Adakah kita sedar mempersoalkan ujian Allah swt itu menandakan betapa lemahnya iman kita?. Menunjukkan kita tidak redha dengan ujian tersebut. Astaghfirullah al-azim. Jangan mengeluh tetapi dekatkanlah hati kita dengan-Nya melalui doa supaya dicekalkan dan ditabahkan hati melalui ujian tersebut. Bersangka baiklah dengan Allah. Ujian itu tanda kasih dan sayang Allah swt kepada kita, bukannya tanda benci . Ingatlah, bahawa setiap ujian itu pasti ada hikmah disebaliknya.
Bersyukur dan berterima kasih kepada Allah swt kerana masih diberi kesempatan untuk bertaubat dan melakukan amal kebaikan. Sentiasalah muraqabah dan memuhasabahkan diri untuk menginsafi segala dosa yang dilakukan. Kegembiraan dan kesedihan itu merupakan ujian Allah kepada kita. Terpulang pada diri kita sendiri bagaimana untuk mengatasinya. Buka hati, buka minda, tepuk dada, tanyalah Iman. Bertaubatlah sebelum terlambat!
Tiada ulasan
Catat Ulasan