SELAMAT HARI BELIA

Selamat merayakan Hari Belia. Semoga dengan kedatangan hari belia untuk tahun ini, kita berupaya menjadi belia yang bertanggung jawab terhadap masa hadapan negara.  Laungan penuh emosi sehingga mengguris hati dan perasaan sahabat yang berlainan bangsa dan agama adalah laungan yang memperjudikan masa depan negara. Justeru atas nama keimanan yang luhur maka kita seharusnya menyusul dengan amal perbuatan yang soleh. 

Jamak agama, budaya dan bangsa adalah fitrah dakwah yang seharusnya kita terima. Islam sebagai agama rahmat kepada sekalian alam, sentiasa mampu untuk berienteraksi dengan kerencaman yang pelbagai dalam masyarakat.  Itulah sifat misi Rasulullah s.a.w yang merangkul gelar khatimul anbiya' wal mursalin yang sedari awal meladeni segala macam faham kepuakan dan kebangsaan.

Kerencaman yang merupakan fitrah alami, mengkehendaki kita berusaha untuk saling berkenalan. Perkenalan seharusnya bermula dari kemampuan kita menampilkan imej yang tepat, sedekat mungkin dengan mesej Islami. Jika yang kita tonjolkan itu adalah penonjolan yang salah sehingga menyebabkan salah faham terhadap Islam, maka secara langsung fitnah dan kekeliruan terhadap Islam akan terjelma.

Dakwah Rasulullah tidak berpusat kepada pengungkitan sejarah bangsa semata-mata. Baginda sedar jika pendekatan tersebut dipilih secara berlebihan, maka rasa kepuakan yang melampau akan timbul. Dakwah Rasulullah berpusat kepada nilai-nilai kemanusiaan yang luhur. Rasulullah percaya bahawa manusia hanya akan terbina dengan nilai kemanusiaan mengikut manual Quraniy. Hanya al-Khaliq yang memahami makhluq.

Kepada belia Islam, pertingkatkan iltizam dalam menjadikan misi dakwah sebagai misi menyelamat kemanusiaan. Selamatkan Malaysia dengan dakwah!

Amidi Abd Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

TAG