SEMI Sg.Ramal Kajang Kunjungi SASAR


Kuching, 25 Oktober 2017: Sekolah Menengah Islam (SEMI) ABIM Sungai Ramal, Kajang telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Negeri Sarawak di bawah program “Kembara Da’i Muda ke Sarawak 2017”. Kembara yang bermula sejak 24 Oktober hingga 28 Oktober ini disertai sembilan orang pelajar SEMI tingkatan satu dan dua dengan diiringi tiga orang guru pengiring.

Rombongan turut mengunjungi Sekretariat ABIM Sarawak atau lebih dikenal dengan singkatannya, SASAR, berlokasi di Taman Seri Wangi, Kuching. Rombongan tiba di SASAR seawal jam 09:00 pagi dan disambut oleh Setiausaha ABIM Negeri Sarawak, Sdr. Mohammad Fazril Mohd Saleh, saf qiyadah PERKEPIS dan saf pengurusan TASKI ABIM.

Dalam ucapan penyataan hasrat, ketua rombongan, Puan Rogayah Sebli menyatakan tujuan rombongan ke Sarawak ini adalah untuk melihat sendiri keindahan bumi Sarawak di samping mempelajari budaya dan adat resam masyarakat yang rencam dan pelbagai. Di samping itu juga, rombongan akan melakukan beberapa program amal kemasyarakatan bersama komuniti setempat. Mewakili tuan rumah, Sdr. Hazim Azhari, Setiausaha Kewangan ABIM Sarawak menyampaikan ucapan sambutan.

Selain bertukar-tukar pandangan dan wawasan dakwah, pihak SASAR juga membentangkan hasil kajian ABIM Sarawak tentang tokoh ulama besar kelahiran Sarawak, Shaykh Haji Uthman Abdul Wahab. Pembentangan disampiakan oleh Sdr. Mohammad Fazril Saleh, Setiausaha ABIM Negeri Sarawak, yang juga kini sedang melakukan penyelidikan mendalam tentang sejarah Islam dan masyarakat Muslim di Sarawak.




TAG