Kuching, 04 November 2017: Jamaah
WADAH-ABIM-PERKEPIS Negeri Sarawak telah dengan jayanya menganjurkan program
Hari Keluarga Jamaah dan Majlis Pengkisahan 40 Tahun ABIM Sarawak. Program
dianjurkan di Dewan Al-Fadhil Ustaz Awang Pon, Ibu Pejabat TASKI ABIM Kuching-Samarahan,
Taman Seri Wangi, Kuching. Program yang dihadiri oleh hampir 100 orang anggota
gerakan bersama keluarga ini bukan hanya menjadi platform perkumpulan warga
jamaah, malah ia juga bertindak sebagai wahana memperteguh tekad perjuangan dan
semangat dakwah di samping mengenang dan menghargai jasa para leluhur yang
telah menanam benih-benih perjuangan yang diwarisi.
Ucapan
sambutan disampaikan oleh Tuan Haji Raslie Saharan, Pengerusi Majlis Syura
Negeri disusuli dengan pidato ta’aruf oleh para pimpinan PERKEPIS, ABIM Sarawak
dan WADAH Sarawak. Sesi Pengkisahan 40 Tahun ABIM diteraju oleh Yang Dipertua
ABIM Sarawak, Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin, dan dua orang panel pembicara
ditampilkan: Tuan Haji Awang Bohari Awang Wal, Setiausaha ABIM Sarawak yang
pertama, dan Ustaz Haji Jahidin Abang Abdul Latif, mantan YDP ABIM Sarawak. Kedua-dua
mereka adalah golongan awal yang menubuhkan ABIM di Sarawak pada lebih kurang
empat dekad yang lalu.
Tahun hadapan
(2018) menandakan genap usia 40 tahun ABIM di persada dakwah Negeri Sarawak.
ABIM ditubuhkan pada 06 Ogos 1971 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Bangi. Tujuh tahun kemudian, pada 12 April 1978, ABIM cawangan Negeri Sarawak
pula ditubuhkan di Kuching.
Tiada ulasan
Catat Ulasan