Isu Larangan Pekerja Hotel Bertudung: Repon ABIM


Kuala Lumpur, 13 November 2017: Persatuan Hotel Malaysia (MAH), melalui Presidennya Encik Cheah Swee Hee baru-baru ini mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita yang bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline-desk) dengan alasan bahawa tindakan tersebut merupakan polisi antarabangsa. Isu berkaitan larangan petugas hotel bertudung ini telah didedahkan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) yang menerima aduan dan maklumat berkaitan amalan diskriminasi terhadap pekerja hotel wanita bertudung yang diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM, Puan Nor Azura Kamarudin Sohami, dalam respon beliau terhadap isu ini telah melabel tindakan perhotelan yang melarang pekerja wanita bertudung ini sebagai amalan lapuk dan bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menekankan bahawa tindakan diskriminasi terhadap wanita bertudung ini tidak boleh dipandang ringan justeru menggesa pihak berkuasa seperti Kementerian Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pelancongan dan Kementeriaan Sumber Manusia untuk mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai tindak balas pendirian sikap terhadap isu ini.

Bagi ABIM, amalan bertudung bukanlah suatu yang asing dalam pelbagai sektor di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Malah, bertudung tidak sama sekali menjadi faktor yang menjejaskan efisensi mahupun profesionalisme sektor perhotelan.





TAG