ABIM Sarawak Kunjungi KUPU-SB Brunei



Bandar Seri Begawan, 19 Disember 2017: ABIM Negeri Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat ke Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU-SB) Negara Brunei Darussalam dengan diwakili oleh Setiausahanya, Saudara Mohammad Fazril Saleh.

Kunjungan ini bertujuan mengadakan perkenalan, di samping bertukar-tukar pandangan khususnya dalam konteks dakwah dan pendidikan seterusnya merencana kegiatan dan program bersama yang mungkin pada masa akan datang.

Saudara Mohammad Fazril disambut oleh Pemangku Ra’es KUPU-SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha bersama pimpinan kanan KUPU-SB. Pertemuan yang diadakan selama satu jam setengah itu bukan sekadar mengeratkan silaturrahim antara kedua-dua organisasi, malah beberapa kesepakatan awal dicapai bersama khususnya dalam merangka program bersama.

Beberapa cadangan program disepakati, antaranya penyelidikan dan penyebaran maklumat kajian tentang ulama Islam di Borneo termasuklah pendokumentasian biografi ulama-ulama, Kembara Amal Sarawak-Brunei-Sabah, Kursus Kepemimpinan Belia Sarawak-Brunei-Sabah dan kunjungan warga KUPU-SB ke Kuching. Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah pimpinan tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar KUPU-SB. Pertemuan berakhir sekitar jam 3:45 petang.







TAG