Petaling Jaya, 22 Oktober 2017: Sebagai
sebuah pertubuhan yang mendokong prinsip kebenaran dan keadilan, ABIM Sarawak sentiasa
meningkatkan kepekaan dan kepeduliannya terhadap isu-isu umat dan kemanusiaan
sejagat. Antara krisis kemanusiaan yang tidak kunjung selesai adalah penjajahan
bumi Palestin oleh Zionis Israel.
ABIM
Sarawak yang diwakili Yang Dipertuanya Sdr. Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin
telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan wakil Yayasan al-Quds
Malaysia, Sdr. Tareq M. Altalmas. Pertemuan bermakna ini menjadi petanda kepada
keseriusan ABIM Sarawak dalam menggerakkan isu kemanusiaan sejagat dan memberi
kesedaran kepada masyarakat Malaysia khususnya di negeri Sarawak. Pelbagai
perkara dibincangkan dalam pertemuan tersebut, termasuklah menggerakkan agenda
advokasi isu pembebasan Palestin, kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat
serta inisiatif bantuan kepada rakyat Palestin.
Dalam masa
yang sama, ABIM Sarawak juga berperanan aktif dalam kempen antarabangsa
terbaharu yang bakal dilancarkan oleh badan advokasi pembebasan Palestin
seluruh dunia iaitu Balfour 100#. Kempen ini akan dilancarkan di Malaysia
secara serentak melalui paparan #Balfour100 di dalam media sosial pada 01
November nanti sebagai protes terhadap Deklarasi Balfour seabad lalu yang
menggadaikan kedaulatan Palestin kepada Zionis Israel.
Selain
menjadi koordinator kempen antarabangsa itu bagi Malaysia Timur, ABIM Sarawak
juga membantu menyunting dan menterjemah sarikata video montaj kempen ke dalam
Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin dan Bahasa Iban.
Tiada ulasan
Catat Ulasan