ABIM Sarawak Singkap Sejarah Ulama Besar: Shaykh Uthman Abdul Wahab al-Sarawaqi



Kuching, 18 Ogos 2017: ABIM Sarawak telah menganjurkan Majlis Memperingati Shaykh ‘Uthman Sarawak dan tahlil arwah sempena Hari Hol seorang tokoh ulama besar kelahiran Sarawak, Shaykh Haji ‘Uthman ‘Abdul Wahhab yang ke-99 tahun (1339-1438H). Majlis ini diadakan di Surau al-Quddus, Kuching dengan pembacaan Manaqib Shaykh ‘Uthman oleh Sdr. Ust. Fazril Saleh, dan majlis tahlil dipimpin Ust. Hj. Jahidin Abg Abdul Latif yang juga merupakan cicit kepada Shaykh ‘Uthman.

Khutbah Jumaat Mengenang Shaykh ‘Uthman juga diadakan di beberapa lokasi, antaranya Surau al-Quddus – disampaikan oleh Ust. Hj. Jahidin Abg Abdul Latif; Masjid Nurul Khair Kg. Semariang Batu – disampaikan oleh Sdr. Fazril Saleh; dan Masjid Jemoreng – disampaikan oleh Sdr Azizan Ajiji. Malah kuliah khas memperingati Shaykh ‘Uthman Sarawak juga diadakan di beberapa masjid utama di Kuching dengan disampaikan oleh Ustaz Husaini Hamdan, Ustaz Suharman Edward dan Ustaz Suhardi Edward.

Program seperti ini adalah julung-julung kali diadakan di negeri Sarawak, mungkin disebabkan keterbatasan sumber rujukan. Kurangnya kajian dan wacana tentangnya menggambarkan seolah-olah Sarawak tidak mempunyai sejarah Islam yang signifikan. Justeru, ABIM Sarawak telah memulakan usaha yang signifikan dalam mengungkap semula sejarah ulama’ dan umat Islam di Sarawak. Kajian terus dilanjutkan dan kitab manaqib/ biografi Shaykh ‘Uthman yang dikarang anakandanya Shaykh Zaynuddin ‘Uthman berjudul Nafahat al-Ridwan yang diterjemahkan akan diterbitkan tidak lama lagi. Informasi tentang Shaykh ‘Uthman Sarawak boleh dibaca di Laman Facebook ‘Legasi Shaykh Uthman Sarawak’ 




Add caption


TAG