Fikrah: ABIM dan Hemah Tinggi


Hemah tinggi adalah suatu bentuk kebanggaan kendiri (self-respect). Sifat ini bukan bermaksud membesarkan diri (takabbur) atau kekaguman sendiri (‘ujub), kerana takabbur dan ‘ujub adalah sifat yang tercela dan merupakan penyakit bagi hati. Sedangkan hemah tinggi adalah suatu sifat yang baik dan mulia. Kebanggaan kendiri itu dapat diterjemahkan sebagai bermaruah dan juga berjiwa besar. Ini adalah suatu keadaan psikologi manusia yang sentiasa termotivasi dan mempunyai self-esteem yang tinggi. Justeru, seseorang pemimpin belia perlu sentiasa menjaga dirinya daripada melakukan kesalahan yang menjatuhkan maruah, menjaga ‘izzah kepemimpinannya dan memelihara shi‘ar organisasinya.

Salah satu ciri hemah tinggi adalah bersikap budiman atau menonjolkan gentlemanshipnya: Apabila dirundung masalah, dia bersikap tenang dan tidak mengelabah; apabila berdepan dengan orang yang bersalah (tanpa kesengajaan), dia bersikap lembut dan memaafkan; apabila mendengar sesuatu khabar, dia bersikap cermat dan menyelidiki; apabila melihat orang yang lemah, segera dia membantu; apabila berdepan dengan orang angkuh, tiada dia menundukkan dirinya; apabila berdepan dengan orang yang memerlukan, dia bersikap pemurah dan tidak mengharapkan balasan daripadanya; apabila berada dalam kesempitan, dia bersabar dan tidak meminta-minta.

Cuplikan Kertas Kerja “Penerapan Nilai Etika Kepemimpinan Belia:
Meninjau Pesan-Pesan Imam al-Ghazali” oleh Fazril Saleh (29 Okt ’17)

TAG