Global: Pendokong Kuat Trump Tewas Rebut Kerusi Senator Alabama



Amerika Syarikat (AS) dikejutkan dengan berita kekalahan penyokong tegar Presiden Donald Trump dalam pilihan raya khas yang diadakan untuk melantik Senator ke Dewan Senat AS dari wilayah Alabama. Wakil Parti Republikan, Roy Moore ditewaskan oleh calon Parti Demokrat, Doug Jones dengan perbezaan satu peratus undian.

Keputusan ini menyaksikan Parti Demokrat memenangi pemilihan senator di Alabama buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun. Alabama sebagai negeri paling konservatif di AS, merupakan kubu kuat Parti Republikan. Tiada calon Parti Demokrat berjaya memenangi kerusi Senat dari Alabama sejak tahun 1992.

Namun, kekalahan mengejutkan ini adalah hasil kempen negatif Roy Moore yang telah menimbulkan perpecahan dalaman Parti Republikan setelah timbulnya isu-isu kontroversial seperti tuduhan salah laku seksual Moore yang dibuat oleh beberapa orang wanita. Beliau juga merupakan seorang yang militan dan radikal dalam kepercayaan konservatifnya dan telah mengkritik beberapa pimpinan partinya sendiri.

Kekalahan ini sekaligus melemahkan kedudukan Donald Trump sebagai Presiden dan pemimpin parti, manakala ramai penganalisa politik menjangkakan bahawa Parti Republikan akan kehilangan lebih banyak kerusi Senat dan Kongres apabila pilihan raya diadakan pada tahun 2018. *The Guardian, The Economist & New York Times


TAG