Global: Pro-Kemerdekaan Dapat Sokongan Rakyat Catalonia: Krisis Politik Sepanyol Berterusan


Para pemimpin parti-parti blok pro-kemerdekaan Catalonia mengisytiharkan kemenangan setelah mengalahkan blok pro-penyatuan dalam pilihan raya wilayah Catalonia yang diadakan pada 21 Disember yang lepas. Parti-parti yang menyokong kemerdekaan daripada Sepanyol meraih 70 kerusi daripada 135 kerusi Dewan Negeri Catalonia.

Walaupun begitu, kemenangan berkenaan dijangka tidak akan menyelesaikan krisis politik terburuk yang berlaku dalam sejarah Sepanyol dalam tempoh 30 tahun. Dalam keputusan pemilihan yang mengecewakan buat blok pro-penyatuan, Parti Ciudadanos (Citizens) yang merupakan parti anti-kemerdekaan berjaya memenangi kerusi terbanyak sebanyak 37 kerusi.

Parti-parti pro-Kemerdekaan seperti Together for Catalonia (34 kerusi), Catalan Republican Left (32 kerusi) dan Popular Unity (4 kerusi) berjaya memenangi undian majoriti dalam parlimen Catalonia dan berkemungkinan akan cuba untuk menubuhkan semula kerajaan Catalonia yang telah dipecat oleh Kerajaan Pusat Sepanyol akibat tindakan mereka mengisytiharkan kemerdekaan.

Namun, blok pro-kemerdekaan juga mengalami masalah dalaman setelah pertelagahan tercetus antara ketua parti Together for Catalonia, Carles Puigdemont dengan ketua parti Catalan Republican Left, Oriol Junqueras yang bertikam lidah kerana perbezaan pendapat berkaitan isu pengisytiharan kemerdekaan. Apa yang pasti, keretakan dalaman masyarakat Catalonia antara puak pro dan anti-kemerdekaan akan berterusan dalam masa terdekat. *The Guardian dan BBC


TAG