Global: “Virus” Gerakan Pemisahan Merebak ke Corsica


Selepas Scotland (United Kingdom), Ukraine dan Catalonia (Sepanyol), “virus” gerakan pemisahan kini telah menular ke sebuah wilayah kecil Perancis dikenali sebagai Corsica. Secara geografinya, Pulau Corsica dipisahkan daripada tanah besar Perancis oleh Laut Mediterranean.

Selepas ratusan tahun diperintah oleh kerajaan Perancis, Corsica kini menyaksikan pertumbuhan pengaruh parti-parti nasionalis yang menuntut autonomi daripada kerajaan pusat yang dipimpin oleh Presiden Emmanuel Macron. Parti-parti ini menyatakan ekonomi, budaya dan bahasa rakyat Corsica ditekan secara tidak adil oleh pemerintah pusat.

Pada 10 Disember, buat kali kedua dalam sejarahnya, pakatan parti nasionalis dan gerakan pemisahan Corsica telah merangkul 41 daripada 63 kerusi Dewan Wilayah, sekaligus berjaya menubuhkan kerajaan tempatan yang berjanji untuk berusaha mendapatkan semula hak rakyat tempatan daripada kawalan kerajaan pusat Perancis.

Para penganalisis politik Perancis menjangkakan pertumbuhan populariti gerakan pemisahan yang lebih drastik dan agresif pada tahun-tahun mendatang.  *The Economist


TAG