Hakikat Insan: Tadabbur Surah al-Tin

Tadabbur Surah al-Tin (surah-95): Surah al-Tin adalah dikelompokkan dalam golongan surah Makkiyah, yang terdiri daripada 08 ayat.

Intisari Ayat:

  1. Allah telah bersumpah dengan tiga tempat diutusnya para Nabi Ulul ‘Azmi: (i) tempat tumbuh melata buah tin dan zaitun, iaitu Baitul Maqdis, tempat diutusnya Nabi ‘Isa a.s. (ii) Bukit Sinai iaitu tempat Allah berbicara secara langsung dengan Nabi Musa bin ‘Imran a.s. (iii) Negeri Mekah yang penuh rasa aman, tempat diutus Nabi kita Muhammad s.a.w. Sumpah dengan tiga perkara ini menunjukkan kemuliaan Nabi Ulul ‘Azmi.
  2. Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik keadaan dan sebaik-baik penciptaan. Kemudian, manusia yang engkar dan tidak mahu mentaati Allah dan RasulNya akan direndahkan ke taraf serendah-rendahnya di dalam neraka.
  3. Golongan yang selamat daripada neraka adalah orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka pahala yang tidak putus-putusnya. Mereka diredhai oleh Allah.
  4. Allah tidak akan membiarkan manusia begitu saja tanpa diperintah dan tanpa dilarang. Tak mungkin pula Allah membiarkan mereka tanpa diberi pahala dan tanpa diberi hukuman.


Susunan oleh Sdr Fazril Saleh
Rujukan: Tafsir Ibnu Kathir dan rujukan selainnya.




TAG