Krisis Politik Afrika Selatan Kian Meruncing


Pembunuhan politik, salahguna kuasa dan rasuah adalah antara beberapa gejala yang mencengkam politik dalaman parti African National Congress (ANC) yang diketuai oleh Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma. Terkini, sebanyak 783 pertuduhan rasuah dikenakan ke atas Zuma, menjadikan beliau sebagai pemimpin paling korup yang pernah menerajui negara berkenaan. Afrika Selatan yang suatu ketika dahulu dipimpin oleh Presiden yang disegani dunia, Nelson Mandela kini berisiko menjadi sebuah “failed state” (negara gagal) yang ditandai kleptokrasi dan kronisme.

Seorang mantan Menteri Kewangan Afrika Selatan menganggarkan sebanyak $11 bilion hingga $15 bilion telah dicuri daripada perbendaharaan negara oleh pemimpin-pemimpin politik. Lebih parah, perbalahan dalaman parti ANC di wilayah KwaZulu-Natal telah menyebabkan 40 orang terbunuh dalam pembunuhan antara ahli-ahli parti dalam perebutan jawatan.

Insiden-insiden ini adalah disebabkan oleh pergelutan dalaman antara dua fraksi dalaman ANC yang sedang bertarung untuk menempatkan calon masing-masing sebagai pengganti Zuma yang tidak dapat bertanding sebagai Presiden selepas dua penggal kerana dihadkan oleh perlembagaan negara.


Pemimpin yang dilantik oleh ANC sebagai pengganti Jacob Zuma hampir pasti akan memenangi pilihan raya Afrika Selatan disebabkan legasi ANC sebagai parti pembebasan warga kulit hitam daripada belenggu apartheid. Masa depan Afrika Selatan kini berada di tangan ahli-ahli politik korup daripada ANC.  *The Economist
TAG