Krisis Zimbabwe: Mugabe Berundur, Presiden Baharu Angkat Sumpah




Selepas 37 tahun memerintah Zimbabwe, Robert Mugabe akhirnya melepaskan jawatannya pada 23 November yang lepas. Ia berikutan tindakan pihak Tentera Zimbabwe yang diketuai oleh General Constantino Chiwenga mengadakan operasi ketenteraan dengan mengambil alih prasarana penting kerajaan dan meletakkan Mugabe di bawah tahanan rumah.

Mugabe yang pada asalnya enggan mengundur diri akhirnya terpaksa berbuat demikian apabila 200 pemimpin-pemimpin akar umbi partinya, Zanu-PF, meluluskan resolusi memecat Robert Mugabe daripada jawatannya sebagai pemimpin parti.

Beberapa jam setelah Parlimen Zimbabwe memulakan proses pemecatan beliau, Robert Mugabe mengumumkan peletakan jawatan beliau daripada jawatan Presiden yang disandang beliau sejak kemerdekaan Zimbabwe pada tahun 1980 lagi. Beliau juga memegang rekod sebagai pemimpin kerajaan yang tertua di dunia pada usia 93 tahun.

Beliau diganti oleh Emmerson Mnangagwa, bekas timbalan Mugabe yang telah dipecat pada 6 November. Pemecatan berkenaan dilakukan oleh Mugabe untuk memberikan laluan kepada isterinya Grace Mugabe untuk menggantikan beliau sebagai Presiden.

Tindakan tersebut telah meletuskan rasa tidak puas hati ramai pemimpin politik Zimbabwe yang akhirnya memaksa pihak tentera untuk melaksanakan operasi ketenteraan berkenaan. Krisis politik Zimbabwe kini berakhir setelah Emmerson Mnangagwa mengangkat sumpah sehari selepas peletakan jawatan Mugabe, menjadikannya Presiden kedua dalam sejarah Zimbabwe.  *The Guardian dan The Economist






TAG