Pengisytiharan Jerusalem/Baitul Maqdis Ibu Kota Israel: ABIM Kecam Donald Trump



Kuala Lumpur, 07 Disember 2017: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melalui Presidennya, Tuan Haji Mohamad Raimi Ab Rahim, dalam satu kenyataan mengecam dan membantah sekeras-kerasnya pengumuman Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump yang berhasrat memindahkan Kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Jerusalem (Baitul Maqdis) sekaligus mengiktiraf Jerusalem sebagai Ibu Kota bagi Negara Haram Israel.

Tindakan Presiden Trump ini secara jelas merupakan suatu tindakan angkuh yang bersifat provokatif dan bakal mengundang kemarahan masyarakat antarabangsa. Dalam kenyataan media itu juga, ABIM menegaskan bahawa Jerusalem atau Baitul Maqdis adalah selama-lamanya milik Palestin.


Dalam perkembangan yang sama, ABIM bersama pertubuhan-pertubuhan NGO di Malaysia yang terangkum dalam koalisi Kempen Selamatkan al-Quds Malaysia telah menghantar memorandum bantahan rasmi kepada Presiden AS melalui Duta Besar Amerika ke Malaysia Tuan Yang Terutama Kamala Shirin Lakhdir, di Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur, Jumaat lalu (08 Dis 2017). 

Deraf memorandum bantahan dirangka oleh Sdr. Muhammad Faisal Abd Aziz, Setiausaha Agung ABIM. Pegawai Kedutaan Besar AS mewakili Duta Besar bersetuju menerima memorandum bantahan tersebut. Serahan ini disusuli dengan demonstrasi unjuk rasa besar-besaran di hadapan kedutaan.
TAG