Bandar Seri Begawan, 09 Disember 2017: ABIM Negeri Sarawak telah mengadakan kunjungan ke Pusat Sejarah Brunei, sebuah institusi pengkajian sejarah dan peradaban Brunei. Diwakili oleh Setiausahanya, Sdr. Mohammad Fazril bin Mohd Saleh, kunjungan ini merupakan sebahagian agenda pengantarabangsaan ABIM Sarawak khususnya dalam membina jaringan dunia Islam di wilayah Kepulauan Borneo.
Delegasi ABIM Sarawak disambut oleh Setiausaha Sulit kepada Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dayang Jamaliah binti Awang Abdul Latif. Pertemuan singkat ini telah membuahkan beberapa kesepakatan awal termasuklah perkongsian maklumat kajian terkini tentang sejarah Islam di Sarawak.
Selain itu, Sdr. Mohammad Fazril juga berpeluang melihat sendiri hasil kajian salasilah yang ditekuni oleh Pengetua Pusat Sejarah Brunei sendiri, Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Hj Awang Mohd Jamil Al-Sufri. Beliau yang juga merupakan tokoh sejarawan Brunei merupakan arkitek bagi gagasan “Melayu-Islam-Beraja” yang merupakan ideologi negara. Hasil penelitian selama puluhan tahun itu pastinya menuntut pengorbanan yang tidak sedikit. Beliau juga bertanggungjawab meneliti dan mengesahkan salasilah kesultanan Brunei yang bersusur galur sampai kepada Rasulullah SAW.
Selain itu, Sdr. Mohammad Fazril juga dibawa melawat pameran Sejarah Brunei Tua. Pameran ini memaparkan maklumat-maklumat berkaitan sejarah peradaban Brunei yang ternyata menarik dan informatif. Beliau juga diperlihatkan dengan beberapa dokumen klasik berbentuk surat dan perjanjian antara kerajaan Sarawak Dinasti Brooke dengan Kesultanan Brunei Darussalam sekitar awal abad ke-18 dan ke-19. Lebih menarik, dalam surat-surat tersebut, kerajaan Sarawak pada waktu itu digelar oleh Kesultanan Brunei sebagai Sarawak Darul Aman dan Sarawak Darul Makmur (wal Masyhur).
Pusat Sejarah Brunei juga banyak menganjurkan seminar sejarah dan kajian manuskrip yang melibatkan ramai pengkaji alam Melayu di peringkat antarabanga. Pusat Sejarah Brunei juga aktif menerbitkan buku-buku ilmiah khususnya dalam bidang sejarah dan peradaban Brunei dan alam Melayu.
Tiada ulasan
Catat Ulasan