Bandar Seri Begawan, 26 Disember 2017: ABIM Negeri Sarawak diwakili Setiausahanya, Sdr. Mohammad Fazril bin Mohd Saleh, telah menziarahi Awang Haji Musa bin Awang Mantok, tokoh pendakwah Brunei, di kediaman beliau di Kampung Kilanas, Negara Brunei Darussalam. Ziarah dan kunjungan ini turut disertai oleh Pangiran Hisyamuddin dan Awang Haji Muhammad Salleh Dicky daripada Pejabat Unit Da’wah Islamiah Daerah Temburong. Ziarah yang berlangsung selama lebih kurang dua jam ini bertujuan mengeratkan silaturrahim di samping mendalami pengalaman dakwah oleh angkatan pendakwah zaman beliau.
Awang Haji Musa yang sudah menamatkan perkhidmatannya sejak sedekad lalu asalnya seorang guru dalam sistem perkhidmatan pendidikan Negara Brunei. Beliau pernah ditugaskan sebagai nazir di Pejabat Pendidikan Daerah Temburong. Di sana, beliau kerapkali mengikuti kegiatan dakwah kepada masyarkat peribumi khususnya di kawasan pedalaman. Melihat kepada kesungguhannya dalam aktiviti dakwah, kerajaan Brunei telah menyerap beliau ke dalam perkhidmatan di Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei.
Beliau merupakan seorang tokoh yang disenangi dan disegani. Pendekatan dakwah beliau begitu bersahaja pada zahirnya tetapi aturan geraknya sangat berstarategi. Beliau masih terus diingati dan diraikan oleh banyak pihak khususnya golongan saudara baru dan ketua kaum masyarakat peribumi di pedalaman. Pengalaman dakwah beliau bersama angkatannya bakal diabadikan dalam projek penulisan buku berkaitan dakwah di Brunei yang akan diusahakan bersama pada tahun 2018 ini.
#ABIMsarawak
#Brunei
#Ziarah
Tiada ulasan
Catat Ulasan