ABIM Sarawak Temui Pengarah Institut Aminuddin Baki



Kuching, 15 Januari 2018: ABIM Negeri Sarawak melalui setiausahanya, Sdr. Mohammad Fazril bin Mohd Saleh telah mengadakan pertemuan dengan Dr. Abang Hut bin Abang Engkeh, Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) cawangan Sarawak. Turut bersama dalam pertemuan ini adalah Sdr. Muhammad Zhariff Azhari, Setiausaha Agung Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS).

Pertemuan yang diadakan di Pejabat Pengarah IAB cawangan Sarawak ini bertujuan membina hubungan perkenalan di samping membincangkan perkara-perkara membabitkan peranan masyarakat dalam menyumbang ke arah kemenjadiaan murid sekolah, demi memastikan keterlestarian generasi pembangun bangsa di masa depan.

Pengarah IAB cawangan Kuching, Dr. Abang Hut Abang Engkeh melahirkan rasa berbesar hati untuk menyumbang buah fikiran dan tenaga bagi memastikan agenda pendidikan anak bangsa Malaysia diperkasakan. Beliau juga menyatakan penghargaan kepada NGO-NGO dan anggota masyarakat yang peduli dan prihatin dengan aspek pendidikan anak-anak pelajar dalam masyarakat Sarawak khususnya.

ABIM Sarawak berasa terpanggil untuk belajar dan bekerjasama dengan golongan berkepakaran khususnya dalam membangunkan modul-modul untuk kegiatan belia dan kemasyarakatan. Memandangkan pelbagai permasalahan sosial berlaku dalam kalangan pelajar di Sarawak, menjadi suatu kewajipan agar kepakaran yang ada digembleng dan tindakan yang tuntas digerakkan secara konsisten dan berstrategi.

Perbincangan yang berlangsung hampir dua jam itu membuahkan beberapa hasil kesepakatan, antaranya kerjasama sumbang saran, wacana pendidikan dan kempen kesedaran penanaman wawasan dalam kalangan pelajar. Dalam tempoh terdekat, direncanakan suatu wacana pendidikan sebagai permulaan kerjasama ini yang dijangkakan berlangsung pada bulan Februari 2018 akan datang.

Institut Aminuddin Baki adalah sebuah institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berperanan sebuah institusi latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan bagi membangunkan keupayaan pengurus dan pemimpin pendidikan di semua peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menghasilkan organisasi pendidikan yang berkualiti selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi maju mengikut acuan sendiri.



TAG