Global: Buku Baharu Dedah Huru Hara Pentadbiran Trump


Sebuah buku yang ditulis oleh seorang bekas wartawan menjadi bualan hangat rakyat Amerika Syarikat apabila ia melaporkan secara jelas situasi dalaman yang berlaku dalam kerajan Amerika Syarikat pimpinan Donald Trump.

Buku bertajuk ‘Fire and Fury: Inside The Trump White House’ yang ditulis oleh Michael Wolff mendedahkan beberapa butiran mengejutkan termasuk tuduhan serius mantan chief of staff (Ketua Kakitangan) Rumah Putih, Steve Bannon ke atas anak lelaki Trump. Beliau dilaporkan menuduh Donald Trump Jr. sebagai ‘pengkhianat’ kerana berurusan dengan kerajaan Rusia ketika kempen pilihan raya Presiden sedang berlangsung.

Steve Bannon merupakan penasihat terdekat Trump dan merupakan salah seorang pemimpin konservatif nasionalis dalam Parti Republikan yang pernah mengisytiharkan perang saudara ke atas musuh Trump dalam partinya. Namun, sejurus selepas tuduhan Bannon ke atas anaknya didedahkan menerusi buku berkenaan, Trump membalas bahawa Bannon kini tidak siuman dan akan menyaman Bannon dan penulis buku berkenaan di mahkamah kerana membuat tuduhan tidak berasas.

Penulis buku berkenaan, Michael Wolff juga mendedahkan huru hara dalaman yang berlaku dalam Rumah Putih. Beberapa kakitangan Rumah Putih juga telah dipetik mengatakan bahawa Trump merupakan seorang yang sukar difahami dan tidak memiliki polisi tertentu untuk memajukan Amerika Syarikat walaupun setelah setahun memerintah. *Redaksi



TAG