Global: Cabaran 2018 Tahun Kritikal Buat Negara-negara Afrika


Tahun 2017 merupakan tahun yang bercampur-baur buat negara-negara Afrika. Sebilangan negara Afrika sedang mengalami proses rejuvenasi politik, ekonomi dan sosial, manakala sebilangan yang lain berterusan dirundung malang akibat pemerintah curang.

Negara-negara seperti Rwanda, Gambia dan Liberia berjaya melaksanakan pilihan raya Presiden pada tahun 2017 dengan harmoni tanpa sebarang isu keganasan. Malah, Liberia mencatatkan sejarah kerana buat kali pertama sejak tahun 1944, negara berkenaan menyaksikan pertukaran kuasa Presiden secara demokratik.

Angola, Zimbabwe dan Afrika Selatan pula menyaksikan kebangkitan pemimpin-pemimpin yang telah berjanji untuk memperbaiki isu rasuah dan undang-undang di negara mereka. Joao Lourenco, Presiden Angola terbaharu yang merupakan pengganti kepada diktator Jose Eduardo dos Santos yang telah memerintah Angola selama 38 tahun telah mengejutkan dunia apabila beliau memecat anak-anak dan kroni dos Santos daripada jawatan-jawatan tertinggi dalam syarikat perusahaan dalam negara.

Zimbabwe pula telah melantik Presiden baharu, Emmerson Mnangagwa yang telah berjanji untuk membanteras rasuah dan mengadakan pilihan raya Presiden yang adil. Di Johannesburg, Cyril Ramaphosa pula telah dipilih selaku Presiden parti terbesar Afrika Selatan, African National Congress dengan platform anti-rasuah.

Namun, masih terdapat beberapa buah negara lain di Afrika yang masih terbelenggu dengan kemelut politik yang meruncing. Democratic Republic of Congo berterusan bergolak apabila Presidennya, Joseph Kabila berterusan enggan menjalankan pilihan raya, sekaligus memerintah secara diktator dan melanggar perlembagaan negara berkenaan. Pilihan raya yang sepatutnya diadakan pada tahun 2017 masih belum dilaksanakan sehingga sekarang, lebih setahun lewat daripada yang dibenarkan oleh perlembagaan.

Cameroon masih lagi diperintah oleh Paul Biya, seorang diktator yang telah memimpin negara tersebut selama 36 tahun, menjadikannya antara pemimpin terlama memerintah sesebuah negara. Presiden Uganda, Yoweri Museveni yang kini berusia 73 tahun pula dilaporkan berkata bahawa beliau merancang untuk memerintah Uganda sehingga ke nafasnya yang terakhir walaupun telah menjadi Presiden selama 32 tahun! Negara-negara seperti Libya dan Sudan Selatan pula masih bergelumang dalam peperangan saudara yang tidak berkesudahan.

Ternyata, perkembangan politik Afrika jauh ketinggalan di belakang benua-benua lain yang telah membina tradisi demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Ketidakstabilan politik dan rasuah adalah penyebab utama Afrika masih lagi dikenali sebagai benua yang mundur walaupun memiliki kekayaan sumber mineral yang begitu banyak.

Menurut laporan World Bank, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Afrika secara keseluruhan hanya satu pertiga daripada KDNK Amerika Syarikat walaupun memiliki populasi 4 kali ganda lebih ramai. Negara-negara yang stabil dari segi politik dan memiliki elit pemerintah yang kreatif mendahului carta pembangunan ekonomi dengan Ethiopia, Rwanda, Ivory Coast, Mozambique dan Tanzania berbanding negara-negara Afrika yang lain.

Jelaslah, begitu banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh pemimpin-pemimpin Afrika pada tahun 2018 jika mahu melihat benua berkenaan berdiri seiring dengan benua-benua yang lain. *The Economist dan The Guardian
TAG