Global: Israel Terdesak, Haramkan 20 Pertubuhan Bukan Kerajaan Masuki Wilayah Israel


Dalam sebuah pengumuman pada hari Isnin yang lalu (08 Januari), kerajaan negara haram Israel yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu telah mengharamkan 20 buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dunia atas sebab sokongan mereka terhadap gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS).

Antara NGO yang diharamkan termasuk pertubuhan daripada United Kingdom (UK), War on Want dan American Friends Service Committee yang pernah memenangi Anugerah Nobel Keamanan pada tahun 1947. Tindakan pengharaman ini dibuat oleh kerajaan Israel akibat kritikan keras NGO-NGO ini terhadap polisi Israel dalam melayani warga Palestin yang mereka sifatkan sebagai tindakan “apartheid”.

Menariknya, sebuah NGO Yahudi, Jewish Voice for Peace yang mempunyai keanggotaan seramai lebih 13,000 ahli turut diharamkan, sekaligus menunjukkan masih ramai lagi golongan berbangsa Yahudi yang menentang polisi kejam Israel.

Selain itu, NGO Palestine Solidarity Campaign yang dikelolai oleh Ketua Pembangkang UK dari Parti Buruh, Jeremy Corbyn turut diharamkan. Jeremy Corbyn yang popular di seluruh dunia sebagai ketua pembangkang UK yang hampir menjatuhkan kerajaan Konservatif Perdana Menteri Theresa May, adalah antara ahli politik Barat yang menentang Israel yang disifatkannya sebagai satu-satunya negara apartheid dan rasis selepas kejatuhan kerajaan apartheid Afrika Selatan pada tahun 1994.

Walaupun diharamkan, NGO-NGO tersebut menyifatkan tindakan Israel tersebut sebagai tindakan terdesak kerana gentar dengan pengaruh gerakan BDS yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dunia. Gerakan Boycott, Divestment and Sanctions yang diasaskan pada 9 Julai 2005 menyeru masyarakat dunia memboikot dan memulaukan segala produk yang dihasilkan di Israel, di samping berterusan melobi negara-negara lain di dunia untuk mengenakan tindakan diplomatik ke atas Israel disebabkan polisi kejam mereka terhadap populasi Palestin. *The Guardian
TAG