Kerajaan Myanmar yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi terus berdolak dalih dalam isu Rohingya dengan berterusan menafikan dakwaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkaitan pembunuhan beramai-ramai Rohingya di wilayah bergolak Rakhine. Terbaharu, wakil khas PBB Pramila Patten menuduh Suu Kyi mengelak daripada membincangkan isu Rohingya dengan beliau ketika lawatan pasukan wakil khas PBB ke Myanmar pada pertengahan Disember.
Patten juga melaporkan dakwaan oleh pegawai-pegawai kerajaan dan tentera Myanmar yang menyatakan tuduhan keganasan yang dikenakan ke atas Myanmar adalah sesuatu yang ditokok tambah dan diperbesarkan oleh masyarakat antarabangsa. Tindakan ini seiring dengan penafian tentera Myanmar pada 14 November yang menyatakan tiada tindakan keganasan dilakukan oleh pihak mereka, sebaliknya menuduh pihak pemberontak Rohingya sebaga pelaku kerosakan di Rakhine.
Walau bagaimanapun, masyarakat dunia berterusan memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar berkaitan isu Rohingya dengan usaha merekodkan bukti-bukti keganasan pihak tentera Myanmar ke atas Rohingya yang tertindas sekian lama. Universiti Oxford adalah antara institusi terkemuka dunia yang mengenakan tindakan ke atas Suu Kyi, dengan membuat kenyataan menarik balik anugerah yang dikurniakan kepada Suu Kyi pada 27 November yang lalu. *The Guardian
Tiada ulasan
Catat Ulasan