Global: Protes Anti-Kerajaan Merebak ke Seluruh Iran


Ribuan rakyat Iran berterusan menghadiri protes di seluruh negara dalam sebuah siri demonstrasi anti-kerajaan yang bermula di bandar Mashhad pada minggu lepas. 21 orang telah dilaporkan terkorban, manakala ratusan lagi telah ditahan oleh pihak keselamatan Iran.

Demonstrasi-demonstrasi ini telah mengejutkan ramai pihak termasuk pemimpin politik Iran termasuk pemimpin puak konservatif seperti Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan reformis seperti Presiden Rouhani. Slogan-slogan yang dilaungkan oleh para demonstran menolak sistem kepimpinan ulama yang dilihat korup dan elitis, manakala terdapat juga laungan slogan anti-Khamenei; sebuah tindakan yang tidak pernah dilakukan oleh rakyat dalam sejarah Iran pasca Revolusi Iran tahun 1978.

Demonstrasi ini bermula akibat ketidakpuasan hati rakyat Iran dengan keadaan ekonomi negara yang menekan rakyat disusuli kadar inflasi dan pengangguran yang amat tinggi. Kemarahan rakyat semakin marak apabila kerajaan Iran mengumumkan kenaikan harga barang asas seperti minyak dan makanan.

Perhimpunan besar-besaran ini adalah kali pertama diadakan sejak tahun 2009, namun memiliki perbezaan ketara berbanding demonstrasi sebelumnya. Majoriti demonstrasi diadakan di bandar-bandar kecil yang dihadiri golongan pekerja, manakala golongan kelas menengah seperti di Tehran enggan terlibat dalam protes berkenaan.

Dalam sebuah ucapan dua hari selepas demonstrasi tercetus, Presiden Rouhani mengakui bahawa rakyat berhak bersuara dan mengkritik kerajaan, namun harus berwaspada daripada melakukan sebarang tindakan keganasan. Protes besar-besaran ini dijangka akan berterusan dalam tempoh terdekat. *The Guardian dan The Economist
TAG