Global: Rantau Balkan, Medan Percaturan Politik Terbaharu


Pimpinan Kesatuan Eropah melafazkan kekhuatiran terhadap pengaruh Rusia yang kian berkembang di negara-negara Balkan yang masih bergolak selepas kejatuhan Yugoslavia dan perang saudara pada tahun 1994. Krisis dalaman negara-negara Balkan dimanfaatkan sebaiknya oleh Rusia untuk melagakan puak pro-Eropah dan pro-Rusia di negara-negara berkenaan.

Paling membimbangkan, Kerajaan Bosnia Herzegovina melaporkan bahawa sebuah pasukan tentera upahan dari Rusia sedang melatih militia berbangsa Serb yang diketuai oleh pemimpin pemisah di wilayah timur Bosnia, meningkatkan lagi potensi keganasan tercetus antara Kerajaan Pusat yang didominasi oleh bangsa Bosnia dan puak pemisah pro-Serbia.

Sebuah lagi negara Balkan iaitu Montenegro yang baharu sahaja mencapai kemerdekaan pada tahun 2006 turut menjadi mangsa percaturan geopolitik Rusia apabila rancangan puak bersenjata untuk mengadakan rampasan kuasa dengan mengambil alih parlimen dan membunuh Perdana Menteri Montenegro didedahkan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Kesatuan Eropah menuduh agensi perisikan Rusia merancang perkara tersebut dalam usaha menghalang Montenegro daripada memasuki koalisi NATO.

Macedonia, sebuah negara memiliki penduduk seramai 2 juta turut tidak terkecuali daripada mengalami nasib yang sama apabila krisis politik dalaman antara dua parti menjadi titik tolak kepada usaha Rusia meluaskan pengaruhnya. Sebagai sebuah negara yang turut ingin memasuki perjanjian NATO dan menjadi sebahagian daripada negara baharu dalam Kesatuan Eropah, Macedonia menjadi sasaran Rusia yang cuba menghalang sebuah lagi wilayah Eropah Timur daripada memasuki orbit pro-Eropah.

Ketidakstabilan politik dalaman di Balkan dikhuatiri akan menjadikan Balkan kembali bergolak seperti yang berlaku pasca keruntuhan Kerajaan Persekutuan Yugoslavia, mencetuskan peperangan yang menumpahkan ribuan nyawa penduduk Balkan yang tidak berdosa. Pengalaman terdahulu harus dijadikan sebagai pengajaran untuk mengelakkan negara-negara Balkan menjadi seperti Ukraine yang kini berpecah menjadi dua wilayah terpisah (Timur dan Barat) dan berterusan bergolak akibat campur tangan kuasa-kuasa besar dunia dalam isu politik dalaman negaranya.

Peperangan dan keganasan bukanlah solusi kepada segala krisis politik dan sosial mana-mana wilayah bergolak. *The Economist dan The Guardian
TAG