Global: Ronaldinho Bersara daripada Dunia Bola Sepak Profesional





Bekas Pemain Terbaik Dunia FIFA tahun 2004 dan 2005, Ronaldinho Gaucho yang berasal dari Brazil telah mengumumkan secara rasmi persaraannya daripada dunia bola sepak professional setelah 20 tahun beraksi di pentas sukan paling popular di dunia.

Dikenali sebagai antara pemain yang paling berbakat di dunia, Ronaldinho merupakan lagenda bola sepak dunia yang paling disegani setelah menampilkan persembahan yang memukau ketika Kejuaraan Piala Dunia 2002 di mana negaranya memenangi kejuaraan kali kelima dan terakhir sejak Piala Dunia ditubuhkan pada tahun 1934.

Beliau telah beraksi sebanyak 97 kali untuk negaranya di peringkat antarabangsa, menjaringkan 33 gol. Namun, kenangan terindah bagi semua peminat bola sepak adalah ketika menyaksikan aksi beliau bersama pasukan Barcelona.

Pada tahun 2003, beliau berpindah ke Barcelona dan menjadi pemain terpenting kelab berkenaan, membantunya memenangi Kejuaraan Liga Sepanyol sebanyak dua kali dan Liga Juara-Juara Eropah sekali.

Beliau kemudian berpindah ke AC Milan setelah prestasinya merosot selepas 5 tahun di Barcelona, namun tidak dapat mengulangi prestasi terbaiknya akibat masalah disiplin dan kekurangan komitmen ketika latihan. Aksi terakhir beliau adalah bersama kelab Fluminense di negara asalnya Brazil.



Sehingga kini, jaringan-jaringan gol dan aksi lincah beliau di atas padang berterusan diingati peminat sejati bola sepak. Menariknya, pada pertengahan tahun 2017, beliau telah secara rasmi terjun dalam arena muzik dengan menerbitkan ‘debut single’nya berjudul ‘Sozinho’ dengan genre ‘soft-samba’. *The Guardian
TAG