Tunisia dikejutkan lagi dengan siri demonstrasi tunjuk perasaan oleh rakyat yang tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi negara yang menekan golongan kelas bawahan. Kejadian yang berlaku pada Selasa lalu itu bertukar ganas dan lebih 600 orang demonstran telah ditahan atas pelbagai kesalahan. Kini, siri-siri tunjuk perasaan telah merebak ke sekurangnya 20 buah bandar seluruh Tunisia.
Tunisia menghadapi kerumitan dalam menangani masalah defisit perbelanjaan negara, sekaligus memaksa kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Youssef Chahed untuk menaikkan kadar cukai dan harga barang asas melalui pemotongan subsidi.
Lebih parah, sektor pelancongan Tunisia yang merupakan antara sumber ekonomi terbesar negara masih tidak berjaya pulih ke paras normal semenjak Revolusi Arab Spring yang tercetus pada tahun 2011. Masalah ini dirumitkan lagi dengan kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia Tunisia yang mencetus kemarahan mereka.
Sebagai satu-satunya negara Arab Spring yang berjaya melaksanakan transisi ke arah demokrasi dan tempat bermulanya revolusi, Tunisia merupakan harapan terbesar rakyat di Timur Tengah dan Afrika Utara dalam memberikan contoh terbaik untuk negara-negara lain yang berterusan dikuasai para diktator seperti Mesir.
Namun, kerajaan Tunisia terpaksa menghadapi tekanan ekonomi yang merupakan legasi mantan diktator Zine al-Abidine Ben Ali yang telah mencuri berbilion duit rakyat sepanjang puluhan tahun memerintah. *The Guardian
Tiada ulasan
Catat Ulasan