Tahun 2017 merupakan tahun yang amat mencabar buat United Kingdom dari segi ekonomi, politik dan sosial. Sejak kemelesetan ekonomi melanda dunia pada tahun 2008, keadaan ekonomi UK tidak pernah pulih sepenuhnya akibat polisi ekonomi kerajaan Konservatif yang dipimpin oleh mantan Perdana Menteri, David Cameron yang menekankan prinsip austerity (penjimatan).
Perbelanjaan kerajaan dipotong secara drastik, sekaligus menyukarkan kerajaan memberikan perkhidmatan sosial seperti bantuan kewangan kepada golongan miskin dan perhidmatan asas yang lain. Menurut Jabatan Statistik UK, kadar kemiskinan di UK adalah 7.3%, iaitu seramai 4.3 juta penduduk, manakala 30% rakyat UK mengalami risiko kemiskinan akibat ketidakstabilan ekonomi.
Terbaharu, mantan Pengarah Perkhidmatan Awam UK, Bob Kerslake memberikan amaran bahawa krisis perumahan akan meningkatkan lagi tekanan ke atas rakyat UK terutamanya golongan belia. Harga rumah di UK kini terlalu tinggi sehingga hanya 38% belia berusia 25 hingga 38 tahun memiliki rumah sendiri.
Pembangunan ekonomi yang tidak seimbang antara daerah-daerah UK pula memberikan kesan yang tidak sihat dari segi ekonomi dan sosial, apabila jurang sosial antara wilayah kaya dan miskin semakin bertambah. Brexit pula dijangka akan memberikan impak yang kritikal kepada ekonomi UK pada jangka masa yang panjang.
Pemotongan belanjawan negara juga memberikan kesan yang amat buruk buat sistem kesihatan UK. Pengarah-pengarah kewangan National Health Services (NHS) sekitar UK memberikan amaran bahawa pengurangan belanja NHS akan mengakibatkan pengurangan kualiti perkhidmatan yang membimbangkan.
Seakan membuktikan amaran ini, beberapa buah hospital sekitar UK mengisytiharkan bahawa institusi mereka berada dalam krisis setelah kemasukan mendadak ramai pesakit ke hospital akibat masalah kesihatan pada musim sejuk, minggu lepas. ‘Krisis musim sejuk’ ini dijangka akan berterusan sehingga beberapa minggu akan datang.
Politik UK pula kini terumbang-ambing apabila kerajaan Konservatif pimpinan Theresa May telah kehilangan majoriti di Parlimen setelah pilihanraya umum pada 08 Jun yang lepas, dan mengharapkan sokongan parti kecil daripada Ireland Utara untuk kekal berkuasa.
Tambah malang, isu Brexit ternyata mengambil begitu banyak fokus dan sumber kerajaan, meminggirkan isu-isu penting lain yang memerlukan penyelesaian segera. Di samping itu, UK menjadi mangsa serangan pengganas sebanyak 5 kali pada tahun 2017, mengakibatkan kematian seramai 36 orang rakyat UK. Serangan terburuk adalah pada 22 Mei, apabila 22 orang termasuk kanak-kanak terburuk akibat letupan bom dalam sebuah konsert di Manchester Arena.
Tahun 2017 merupakan tahun yang amat mencabar buat UK, namun tahun 2018 dijangka akan lebih kritikal jika tidak ditangani sebaiknya oleh pimpinan politiknya. Gelaran ‘Sick Man of Europe’ yang suatu ketika dahulu dilabel ke atas Empayar Uthmaniah kini disandang oleh UK. *The Economist, The Guardian & The Independent
Tiada ulasan
Catat Ulasan