Aina Gamzatova, seorang wanita Muslim yang juga merupakan isteri kepada Mufti wilayah Dagestan di Rusia telah mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya Presiden Rusia akan datang sekaligus menentang penyandang kerusi Presiden, Vladimir Putin.
Beliau merupakan calon terbaharu yang mengumumkan pencalonannya, sekaligus menjadikannya sebaris dengan calon-calon pembangkang dan bebas yang mencuba nasib untuk menyaingi Putin yang masih memiliki populariti tinggi dalam kalangan rakyat Rusia.
Gamzatova lahir di kawasan majoriti Muslim di Caucasus dan berfahaman sufi. Dalam pengumuman melalui media sosial, beliau menegaskan bahawa beliau bertanding untuk membawa agenda anti-‘wahabi’ yang dianggapnya sebagai sebuah fahaman yang merbahaya bagi keselamatan Rusia.
Terdapat 20 juta orang Islam yang menetap di Rusia, dan wilayah majoriti Muslim di Caucasus telah menyaksikan beberapa siri pertembungan ganas antara puak pemisah dengan pihak keselamatan Rusia termasuk peperangan di Chechnya yang telah mengorbankan ribuan nyawa.
Penganalisa politik Rusia menyambut baik pengumuman Gamzatova dan menganggapnya sebagai suatu usaha unik dalam mempelbagaikan pilihan sedia ada dalam politik Rusia. *Al-Jazeera
Tiada ulasan
Catat Ulasan