ABIM Sarawak Kunjungi Sekretariat ABIM Pusat



[ABIM Sarawak Kunjungi Sekretariat ABIM Pusat]

Kuala Lumpur, 26 Januari 2018: ABIM Sarawak menerusi setiausahanya, Sdr. Mohammad Fazril bin Mohd Saleh telah mengadakan kunjungan ke Sekretariat ABIM Sarawak, Taman Cemerlang, Kuala Lumpur. Kunjungan ini merupakan kunjungan kali kedua pimpinan ABIM Sarawak sesi ini ke Sekratariat ABIM Pusat selepas ziarah kali pertama oleh Sdr. Azizan Ajiji, Naib Yang Dipertua ABIM Sarawak, Oktober tahun lalu.

Sdr. Mohammad Fazril disambut oleh Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Sdr. Muhammad Faisal bin Abdul Aziz dan Sdr. Firdaus bin Hamsin, exco ABIM Pusat. Turut menyertai Sdr. Mohammad Fazril adalah Sdr. Muhammad Zhariff Azhari, Setiausaha Agung Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS).

Perjumpaan selama lebih kurang dua jam itu membincangkan beberapa aspek keorganisasian di samping perbahasan isu-isu semasa yang melingkari umat dewasa ini. Turut disentuh adalah perencanaan program Legasi HAMKA di Kuching, Sarawak yang dijangka untuk diadakan pada penghujung April 2018 nanti. Program kali ini akan menampilkan anak kandung Haji Abdul Karim Amrullah (HAMKA) sendiri, Bapak Drs. H. Afif Hamka yang juga merupakan khatib dan pimpinan Yayasan Pensantren Islam Masjid Agung al-Azhar, Kebayoran Baru, Jakarta.

Program Legasi HAMKA pernah dilangsungkan pada tahun 2014 dan 2016 di Kuala Lumpur. Legasi HAMKA di Sarawak kali ini pastinya meriah memandangkan kesan dakwah HAMKA yang meluas, malah HAMKA pernah diundang ke Kuching pada tahun 1975 atas undangan Tun Rahman Ya’akub, Ketua Menteri Sarawak ketika itu.

TAG