Allah Lindungi Baitullah: Tadabbur Surah al-Fil



Tadabbur Surah al-Fil (surah-105): Surah al-Fil adalah tergolong dalam ayat Makiyyah. Nama surah ini berasal daripada perkataan ‘fil’ yang bermakud “gajah”, bersempena dengan pasukan bergajah dalam perancangan jahat untuk menyerang Kaabah. Perancangan tersebut telah dibuat oleh salah seorang pemimpin Habsyah (kini Ethiopia), bernama Abrahah bin al-Sabah Abu Ya’soum al-Ashram al-Himyari pada sekitar tahun 571M. Peristiwa ini diwahyukan oleh Allah Taala kepada Nabi kita, Muhammad saw ketika baginda masih berada di Makkah sebagai janji dan pertolongan yang benar dari Allah kepada hamba-hamba-Nya. Ia diingati oleh seluruh bangsa Arab dan sekitarnya sebagai “Tahun Gajah”.

Intisari Ayat:

  1. Surah ini mengisahkan peristiwa ashabul fiil (pasukan gajah) yang ingin menghancurkan rumah Allah (Ka’bah). Mereka mempersiapkan angkatan perang untuk menghancurkan Ka’bah yang terletak di Makkah kerana cemburu dengan penumpuan seluruh bangsa Arab yang akan berziarah ke sana untuk menunaikan haji pada musimnya.
  2. Pemimpin pasukan bergajah bernama Abrahah al-Ashram yang merupakan gabenor Negeri Yaman, yang waktu itu merupakan wilayah di bawah kekuasaan Kerajaan Habsyah. Beliau telah membina sebuah rumah ibadat baharu di Yaman yang mana ia jauh lebih cantik daripada Kaabah. Beliau berhasrat agar bangsa Arab datang berziarah dan melakukan Haji di situ.
  3. Ketika mereka datang mendekati Makkah, orang-orang Arab tidak punya persiapan apa-apa untuk menghadang mereka. Walaupun terdapat tentangan daripada kabilah Arab tertentu, tetapi dengan mudah mereka dikalahkan.
  4. Penduduk Makkah sendiri berasa takut dan tidak berdaya melawan ashabul fiil tersebut.
  5. Lantas Allah menurunkan burung yang datang kelompok demi kelompok. Burung-burung tersebut membawa batu untuk mempertahankan Ka’bah. Batu tersebut adalah batu yang dibakar dan digunakan untuk melempar pasukan gajah tersebut. Sebahagian pasukan hancur seperti daun-daun yang dimakan,manakal sebahagian lain melarikan diri dan mati dalam perjalanan pulang
  6. Allah memberi pertolongan dari kejahatan pasukan bergajah tersebut. Tipu daya mereka pun akhirnya terhapus bersama diri mereka.
  7. Kisah ini mengingatkan orang Quraisy tentang pertolongan Allah yang telah menghancurkan pasukan bergajah dan juga menunjukkan bagaimana Allah mengatur makhluk dan membinasakan musuh-musuh-Nya.
  8. Pada tahun penyerangan gajah tersebut, lahirlah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Kisah itu adalah titik awal yang menunjukkan akan datangnya risalah beginda atau itulah tanda kenabian baginda. 



Susunan oleh Sdr Fazril Saleh
Rujukan: ‘Tafsir al-Azhar’ karya Buya Hamka


TAG