Kesemua pencabar utama Abdul Fattah al-Sisi dalam Pilihanraya Presiden pada bulan Mac akan datang telah menarik diri atau telah ditahan oleh pihak junta tentera Mesir, sekaligus membuktikan persepsi bahawa pilihanraya Presiden Mesir pada masa akan datang adalah sesuatu yang sia-sia.
Kerajaan diktator al-Sisi kini telah menahan beberapa pencabar utamanya seperti Sami Anan yang merupakan mantan ketua angkatan tentera Mesir dan Ahmed Shafiq, Perdana Menteri Mesir terakhir ketika era pemerintahan Husni Mubarak.
Sami Anan pernah mengetuai junta tentera Mesir setelah perletakan jawatan Husni Mubarak, sebelum dipecat oleh Presiden Muhammad Mursi daripada jawatannya sebagai ketua angkatan tentera Mesir pada tahun 2012. Beliau mengumumkan niatnya untuk bertanding dalam pemilihan Presiden menentang Al-Sisi dengan mengkritik polisi diktator tersebut sebagai “polisi yang salah”. Walau bagaimanapun, angkatan tentera Mesir telah menahan beliau pada Selasa lepas dengan alasan beliau telah melakukan beberapa “kesalahan” berkaitan “pelanggaran undang-undang”.
Beliau mengikut jejak Kolonel Ahmed Konsawa yang telah dipenjarakan selama 6 tahun pada Disember lepas setelah mengisytiharkan akan menentang Al-Sisi pada pilihanraya Presiden. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa rejim diktator Al-Sisi tidak mendapat sokongan penuh daripada kelompok elit pegawai-pegawai tentera Mesir kerana kekerasan yang digunakannya ke atas masyarakat awam di Mesir.
Ahmed Shafiq, mantan Perdana Menteri Mesir pada tahun 2011, juga telah mengumumkan pencalonan dirinya pada bulan 29 November lepas untuk menentang Al-Sisi, namun kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Mesir sejak Disember lepas.
Beliau akhirnya menyatakan pendiriannya untuk menarik diri daripada bertanding pada 7 Januari akibat tekanan yang diberikan, sekaligus memberikan ruang kepada al-Sisi untuk menang tanpa dicabar.
Seorang lagi pencabar adalah Mohamed Anwar al-Sadat, iaitu anak saudara kepada mantan Presiden Mesir, Anwar al-Sadat. Beliau mengisytiharkan penarikan dirinya pada 15 Januari lepas dengan menyifatkan pertandingan menentang al-Sisi sebagai “tindakan membunuh diri”. Namun, beliau berikrar akan bertanding dalam pilihanraya Presiden akan datang pada tahun 2022.
Khaled Ali, seorang peguam hak asasi manusia yang berhaluan kiri adalah pencabar utama terakhir yang telah menarik daripada pemilihan Presiden pada 25 Januari dengan menyatakan tekanan rejim Mesir ke atas beliau dan kakitangannya sebagai alasan penarikan diri berkenaan. Beliau juga telah diheret ke mahkamah atas tuduhan memberikan ‘isyarat tangan lucah’ dalam sebuah protes di luar mahkamah.
Tindakan rejim diktator Al-Sisi menekan dan menindas golongan pencabarnya untuk jawatan Presiden pada pemilihan bulan Mac akan datang menunjukkan bahawa ia takut dengan kuasa rakyat yang telah beberapa tahun dizalimi oleh pemerintah tentera yang tidak memiliki belas kasihan ke atas rakyatnya sendiri. 7 tahun selepas Revolusi Mesir, negara tersebut masih lagi dirundung nasib malang diperintah oleh kerajaan tirani. *The Guardian, Xinhua, Reuters dan Al-Araby
Tiada ulasan
Catat Ulasan