Global: George Soros Isytiharkan Facebook dan Google Ancam Masyarakat Dunia



Sidang World Economic Forum (WEF) di Davos menjadi platform George Soros mengisytiharkan gergasi teknologi seperti Facebook dan Google sebagai ancaman kepada dunia. Beliau menuduh gergasi media sosial berkenaan mengeksploitasi “persekitaran sosial” dengan mempengaruhi cara manusia berfikir dan bertindak, sekaligus mengancam demokrasi.

Beliau menyifatkan media sosial sebagai alat “memanipulasi perhatian” manusia untuk kepentingan komersial syarikat teknologi; sesuatu yang amat merbahaya terutama sekali bagi pengguna remaja. Ucapan beliau diakhiri dengan kritikan tajam beliau yang menjangkakan bahawa syarikat teknologi berkenaan akan pupus tidak lama lagi. George Soros adalah suara terbaharu yang mengkritik gergasi media sosial seperti Facebook setelah beberapa figura terkenal dunia menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pengaruh besar dimilikinya di dunia maya.
Sir Tim Berners-Lee, pencipta world wide web mengkritik syarikat teknologi yang dominan adalah penghalang kepada usaha inovasi teknologi dam wajar dikawal oleh pihak kerajaan. Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat teknologi Amerika Syarikat, Marc Benioff mencadangkan agar Facebook dikawal seperti syarikat rokok kerana ia mempunyai ciri-ciri seperti rokok yang memudaratkan pengguna dengan mengakibatkan ketagihan.

Pada November lepas pula, Sean Parker, Pengerusi Facebook yang pertama turut mengkritik Facebook sebagai amat merbahaya kepada remaja dan kanak-kanak. Tim Cook, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi terkemuka Apple turut menyatakan bahawa beliau mengharamkan anak saudaranya daripada menggunakan media sosial kerana khuatir akan kesannya terhadap keluarga.

Komentar-komentar para pemikir dan ahli perniagaan terkemuka dunia adalah suatu petunjuk tentang bahana penggunaan media sosial dan ketergantungan melampau manusia terhadap teknologi dalam dunia moden ini. Dijangka lebih banyak usaha dilakukan oleh negara-negara dunia untuk mengikut jejak langkah China yang telah mengharamkan sepenuhnya penggunaan Facebook dan Google di negara mereka. *The Guardian


TAG